KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengadakan sesi libat urus dengan penyedia dan pengendali platform media sosial untuk membantu mereka memahami undang-undang berkaitan isu 3R - raja, agama dan kaum - dengan lebih baik.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan sesi itu dengan hampir semua pengendali platform media sosial termasuk Telegram dan Meta.
Beliau juga memaklumkan kerjasama dengan Telegram berjalan lancar berikutan platform itu sebelum ini enggan bertemu dengan MCMC berhubung isu penyebaran pornografi, pembenci, penipuan dan lain-lain.
"Saya belum menerima laporan terkini. Saya tahu MCMC dan Bukit Aman (polis) sudah adakan beberapa sesi libat urus. Selepas pertemuan terakhir dengan Meta minggu lepas, terdapat satu sesi berlangsung beberapa hari lepas tetapi saya tidak menerima laporan terkini.
"Bagaimanapun, saya difahamkan bahawa kebanyakan penyedia dan pengendali media sosial memahami undang-undang negara dengan baik dan peranan dimainkan oleh polis serta MCMC dari segi komunikasi atau keselamatan awam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Horizon Publication di sini pada Isnin.
Horizon ialah penerbitan ekonomi digital strategik bertujuan mempamerkan trend pertumbuhan pesat ekonomi digital Malaysia, menyediakan pandangan tentang aliran dan peluang dalam ekonomi digital Malaysia.
Sementara itu, Fahmi berkata, kementerian menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan terhadap sebarang isu yang didakwa menyentuh berkaitan 3R termasuk membabitkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
"Polis akan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih dan sesiapa sahaja yang mungkin berpotensi melanggar undang-undang negara, siasatan akan dilakukan,” katanya.
Terdahulu, PDRM mengesahkan satu siasatan ke atas Abdul Hadi sedang dijalankan dipercayai menyentuh isu 3R. - Bernama