KUALA LUMPUR - Keputusan parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC dan MCA untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan, bukan langkah memboikot gabungan itu dan PRN.
Sebaliknya ia merupakan keputusan konsensus dan dibuat berdasarkan peluang calon UMNO yang dilihat lebih cerah untuk memenangi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang bakal ditandingi BN.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, keputusan itu pernah dilakukan sebelum ini, iaitu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highland pada 2019, yang menyaksikan kerusi tradisi MIC diberikan kepada calon UMNO dan berjaya dimenangi BN pada PRK itu.
"Tidak timbul soal kita memboikot (PRN)...kita ambil semangat atau spirit Cameron Highland (PRK)...kita lihat peluang UMNO menang lebih cerah...jadi kita beri laluan pada mereka bertanding.
"Keputusan ini ialah soal kemenangan BN... kemenangan BN lebih penting daripada kemenangan parti secara individu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam ini, di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.
Saravanan berkata, walaupun MIC dan MCA tidak bertanding, namun sebagai parti komponen BN, jentera masing-masing akan menyokong dan membantu sepenuhnya kempen calon UMNO, bagi memenangi PRN itu.
Senada dengan beliau, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon juga menegaskan MCA akan terus menyokong calon BN dan memastikan kemenangan di setiap kerusi DUN yang ditandingi.
Terdahulu, mesyuarat berlangsung selama lebih sejam itu, dipengerusikan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin tertinggi BN, antaranya Bendahari Agung BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan beberapa pemimpin tertinggi parti komponen gabungan itu.
Sebelum ini, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu bulan depan, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan sejurus tamat mesyuarat itu memaklumkan, Mesyuarat Dewan Tertinggi BN menghormati keputusan dan komitmen parti komponen BN bagi memastikan kemenangan di semua kawasan yang ditandingi.
Beliau berkata, kerjasama di antara parti komponen Kerajaan Perpaduan juga akan diperkukuh dan dipertingkatkan.
"BN juga mengarahkan persiapan dan memperkukuhkan semua jentera parti di setiap peringkat bagi menghadapi PRN ini.
"BN bersama-sama dengan Pakatan Harapan akan mengadakan Program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Kedah pada 15 Julai, Pulau Pinang (16 Julai) Kelantan (23 Julai) Negeri Sembilan (27 Julai) dan Terengganu (28 Julai)," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lepas, mengumumkan PRN di enam negeri itu dijalankan secara serentak, dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama