BANGKOK - Parti Negara Thai Bersatu (UTN) tidak akan mencalonkan Perdana Menteri sementara, Prayuth Chan o-cha sebagai calon perdana menteri parti itu.
Pemimpin parti UTN, Pirapan Salirathavibhag berkata, parti itu tidak akan menamakan sebarang calon dalam undian untuk memilih perdana menteri baharu di Parlimen, Khamis ini.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata, UTN menentang konsep kerajaan minoriti, kerana ia akan memberi kesan buruk kepada negara.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei, UTN menamakan dua calon perdana menteri - Prayuth dan Pirapan. Bagaimanapun, parti itu hanya memenangi 36 kerusi.
Sementara itu, Piraphan berkata, UTN juga tidak akan mengundi pemimpin Parti Move Forward Pita Limjaroenrat sebagai perdana menteri.
Beliau berkata, parti itu tidak akan menyokong mana-mana pihak yang mahu meminda undang-undang lese-majeste, yang juga dikenali sebagai artikel 112 Kanun Acara Jenayah.
Setiausaha Agung parti UTN, Akanat Promphan, akan mempengerusikan mesyuarat UTN pada Selasa untuk meluluskan resolusi berhubung pengundian calon perdana menteri.
Bangkok Post melaporkan secara teorinya UTN boleh bergabung tenaga dengan pimpinan Palang Pracharath yang mempunyai 188 Ahli Parlimen dan 250 senator yang dilantik semasa pemerintahan tentera untuk mengundi Prayuth.
Perdana menteri baharu memerlukan 376 undi dalam sidang bersama.
Parti Move Forward (MFP), yang memenangi 151 kerusi pada PRU 14 Mei dan memperoleh lebih 14.2 juta undi, mengetuai gabungan lapan parti yang bersama-sama memperoleh 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.
Gabungan itu mencalonkan pemimpin MFP Pita Limjaroenrat sebagai calon perdana menterinya.
Walaupun jumlah yang menggalakkan, tidak ada jaminan bahawa gabungan pimpinan MFP akan dapat membentuk kerajaan kerana mereka perlu memperoleh 64 lagi undi daripada 250 senator. - Bernama