KOTA BHARU - Pengorbanan bekas pesara polis, Yusof Hussain, 80, terhadap negara dan keluarga sukar dicari apabila terpaksa berdepan komunis di hutan tetapi pada masa sama memikirkan dua anak orang kurang upaya (OKU) termasuk seorang yang terlantar.
Bagaimanapun, beliau meneruskan tugas dan sentiasa berdoa dengan harapan isteri, Aishah Ali, 75, dapat menjaga lapan anak mereka dengan baik.
Menurut Yusof, pengalaman bertugas bersama Batalion 11, Pasukan Gerakan Am memang mencabar kerana ketika itu berlaku Konfrontasi Indonesia-Malaysia.
"Saya bertugas selama 15 tahun dalam pasukan itu dan paling mencabar apabila ada pemberontak bersenjata di dalam hutan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara Tanpa Istiadat dan Penyerahan Sumbangan Katil di kediamannya pada Isnin.
Berkongsi detik sukar itu, Yusof berkata, ketika operasi selama tiga bulan di Tanjung Karang, Selangor pada tahun 1965, seorang individu memaklumkan ada banyak bom di kawasan berkenaan.
Yusof yang baru dua tahun berkhidmat sebagai polis menggunakan pengalaman berkenaan untuk mencari penjenayah terbabit.
"Ketika itu kami diberi ganjaran RM500 untuk menangkap penjenayah dan akhirnya berjaya. Mereka dipanggil komando ganyang Malaysia dari Indonesia," katanya.
Beliau memberitahu, bagaimanapun dalam operasi itu, kesemua mereka yang bertugas terputus bekalan makanan kira-kira seminggu.
Jelasnya, dalam tempoh itu mereka hanya mencari ubi kayu dan pisang dalam kawasan penempatan Orang Asli untuk mengalas perut sebelum bantuan tiba.
"Mujurnya kami tidak pernah terserempak dengan komunis tetapi ada bekas api tempat mereka memasak dan berhenti rehat.
"Alhamdulillah juga kerana sepanjang operasi itu tiada pegawai atau anggota yang cedera dan kami semua pulang dengan selamat," katanya.
Warga emas itu yang bersara 23 tahun lalu dengan pangkat terakhir sebagai Sarjan Mejar kini menderita kencing manis, masalah saraf dan sakit buah pinggang tahap empat.
Yusof yang sudah tidak boleh melihat dengan jelas hanya bertahan dengan memakan ubat yang dibekalkan oleh doktor selain rawatan susulan.
"Saya juga bersyukur anak sulung, Zainura, 56, yang juga seorang guru berkorban memohon bersara awal untuk menjaga dua adik OKU yang kini masing-masing berusia 49 dan 52 tahun," katanya.
Selama 37 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yusof tidak menggalakkan anak-anak untuk bekerja dalam bidang itu.
"Tugas polis tidak tentu masa dan terpaksa meninggalkan keluarga antara sebab saya tidak mahu anak-anak memilih kerjaya ini," katanya.
Dua anak beliau berjaya melanjutkan pengajian di luar negara masing-masing di Scotland dan Australia.
Pengorbanan Yusof turut mendapat perhatian apabila menerima beberapa pingat dari Kelantan, Perlis dan Perak.
Sementara itu, Yusof menerima sumbangan katil daripada Persatuan Kebajikan Pesara Pegawai Rendah Polis Negeri Kelantan yang disampaikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Katil khas untuk pesakit berharga lebih RM700 itu bagi memberi keselesaan kepada Yusof selepas tidak mampu lagi berjalan dan duduk lebih lama.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pesara Pegawai Rendah Polis Negeri Kelantan, Nordin Yaakob.