SHAH ALAM - IHH Healthcare Malaysia meneroka peluang pelancongan perubatan dengan mengadakan Expo Penjagaan kesihatan di Surabaya, Indonesia bermula dari 6 hingga 9 Julai 2023.
Ketua Pegawai Komersialnya, Sipika Singh berkata, expo yang dianjurkan oleh Malaysia Healthcare Majlis Pelancongan (MHTC) itu bagi mengetengahkan kepakaran perubatan bertaraf dunia daripada teknologi terkini, kemudahan, dan penjagaan kesihatan di seluruh rangkaian jenama Gleneagles, Pantai dan Prince Court Medical Centre.
"Pencapaian penting ini bagi memajukan pelancongan perubatan di Malaysia dan pameran ini menunjukkan spektrum kemajuan klinikal bersepadu di seluruh hospital dalam menjadikan penjagaan kesihatan lebih baik, pantas dan mudah untuk pesakit kami.
"Pengunjung juga akan berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil hospital bagi memperoleh maklumat yang relevan mengena keperluan penjagaan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Acara itu menampilkan penyertaan daripada Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Hospital Gleneagles Medini Johor, Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Hospital Pantai Ayer Keroh dan Prince Court Medical Centre.
Dalam pada itu, IHH Healthcare Malaysia turut melancarkan 'One Stop Customer Service Hotline' sebagai laman web antarabangsa yang menyokong perkhidmatan dalam Bahasa Indonesia.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Gleneagles Medini, Dr Kamal Amzan pula berkata, Malaysia merupakan destinasi pelancongan penjagaan kesihatan yang menjadi pilihan bagi pesakit dari Indonesia kerana rawatan perubatan berkualiti tinggi, mudah diakses dan berpatutan.
IHH Healthcare Malaysia telah memenangi beberapa anugerah dalam Global Health Asia-Pasifik termasuk Kumpulan Hospital Terbaik di rantau Asia-Pasifik.
Antara kemenangan besar adalah anugerah Hospital Pelancongan Perubatan Terbaik di Asia-Pasifik untuk Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Hospital Terbaik di Malaysia (Hospital Gleneagles Kuala Lumpur), anugerah Pusat Kanser Terbaik di Asia-Pasifik (Hospital Pantai Kuala Lumpur) dan Pembekal Perkhidmatan Ortopedik Terbaik di Asia-Pasifik (Prince Court Medical Centre).