Kerajaan jamin tiada kenaikan harga barang melampau

Iklan
Salahuddin (kanan) ketika meninjau harga barangan di Econsave Setapak Sentral, Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memberikan jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga barangan yang melampau sehingga hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia bersandarkan hasil libat urus melibatkan 30 pemain industri pada minggu lepas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika berlaku sebarang kenaikan, pihak industri akan kembali berunding dengan kerajaan untuk melihat rasionalnya.

"Setakat ini, tidak berlaku sebarang kenaikan melibatkan barangan asas bersubsidi. Bagi barangan yang tidak ada subsidi, kita kawal harganya setiap hari.

Iklan

"Tidak ada negara di dunia ini yang mengawal semua harga barang. Apa yang ada adalah kerajaan bertanggungjawab mengawal beberapa barang asas rakyat. Itu yang kita buat termasuk Malaysia.

"Jadi, jika berlaku fenomena bencana alam, banjir besar dan sebagainya, kita akan pastikan pada masa itu tindakan apa yang perlu dilakukan," katanya pada sidang media selepas meninjau harga barangan di Econsave Setapak Sentral di sini pada Selasa.

Iklan

Tambah Salahuddin, program turun padang itu dibuat bagi meninjau sendiri situasi sebenar harga barangan di pasaran, susulan dakwaan berlaku kenaikan.

"Sebenarnya, tinjauan ini adalah rutin setiap hari, kita pantau kawalan harga barangan asas rakyat tapi untuk lebih bertanggungjawab, maka Kerajaan Madani pergi sendiri (melihat kebenaran dakwaan).

"Tapi hasil tinjauan yang lakukan, kementerian dapati pertama sekali barang-barang bersubsidi yang kerajaan bagi, tidak pernah naik dan tidak mungkin naik buat masa ini," ujar beliau.

Sementara itu katanya, semenjak Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan atau inflasi adalah pada kadar yang lebih rendah.

Jelas beliau, inflasi pada tahun 2023 terus mereda, di mana kadar inflasi pada Mei 2023 adalah 2.8 peratus berbanding 3.3 peratus (April 2023), 3.4 peratus (Mac 2023) dan 3.7 peratus (Februari dan Januari 2023).

"Kadar inflasi ini adalah lebih rendah jika dibandingkan pada November 2022 sebelum Kerajaan Perpaduan memerintah, di mana inflasi pada masa itu berada pada kadar 4.0 peratus," katanya.