PRN: Amanah dijangka tanding 33 kerusi - Salahuddin

Iklan
Salahuddin ketika sidang media berkenaan isu harga barang naik di Pasaraya Econsave, Setapak Sentral, pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka akan bertanding antara 31 ke 33 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, buat masa ini, jumlah sebenar masih belum dimuktamadkan namun parti itu akan bertanding di semua negeri.

Iklan
Iklan

"Daripada 245 kerusi DUN, kita akan bertanding tujuh kerusi di Kelantan, Terengganu antara tiga atau empat, Kedah pula tujuh atau lapan.

"Sementara di Selangor, Amanah akan bertanding sembilan kerusi manakala Negeri Sembilan tiga dan Pulau Pinang dua," katanya dalam sidang media selepas meninjau harga barangan di Econsave Setapak Sentral, di sini pada Selasa.

Iklan

Ahli Parlimen Pulai itu turut meluahkan keyakinan untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan, termasuk di negeri ditadbir pembangkang.

Keyakinan itu katanya, bersandarkan gelombang rakyat ketika ini, selain calon, strategi dan pendekatan terbaik.

Iklan

"Jadi dalam politik ini tidak ada (cabaran) yang susah. Yang penting, cuba sebaik mungkin. Apa pun, itu tugas kita untuk pastikan dapat mencapai kemenangan di negeri yang kita bertanding nanti," ujar beliau.

Ditanya sama ada kehadiran Barisan Nasional (BN) dilihat ancaman buat Amanah, Salahuddin berkata, pihaknya tidak ada masalah dengan gabungan itu.

Beliau turut menyifatkan kerjasama antara PH-BN itu umpama cabaran dalam kehidupan berumah tangga.

"Kami sudah biasa sejak zaman dulu lagi, dengan PKR, DAP, Bersatu dan sekarang dengan UMNO.

"Kita sudah biasa, jadi tidak ada masalah kerana segala cabaran akan kita hadapi bersama, sebagaimana kita mendirikan rumah tangga," katanya.