JEMPOL - Seorang lelaki yang sebelum ini dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas kesalahan merompak, sekali lagi didakwa atas dua pertuduhan mencuri duit tabung masjid di Mahkamah Majistret Bahau, pada Selasa.
Tertuduh, Muhammad Amirul Syafiq Daud Hamzah, 22, dari Kuala Lipis, Pahang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norhazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah mencuri wang tunai RM50 dalam tabung milik Masjid Jamek Pekan Bahau di masjid itu pada 11 Jun lepas, kira-kira jam 11.15 malam.
Pertuduhan kedua pula, tertuduh juga melakukan perbuatan sama dengan mencuri wang tunai RM2,000 dalam tabung milik Masjid Jamek Batu Kikir di masjid tersebut pada 13 Jun lepas lebih kurang jam 1.40 pagi.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, boleh juga dikenakan denda,jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara lapan hari dan denda RM1,800 terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama serta penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah juga menjatuhi hukuman 10 bulan penjara dari tarikh tertuduh ditangkap bagi pertuduhan kedua dan denda RM2,000, jika gagal bayar dikenakan tiga bulan penjara.
Pendakwaan kes dikenadalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada hari sama, tertuduh merupakan penganggur dijatuhi tiga tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah selepas mengaku bersalah merompak secara berkumpulan di Bahau bulan lalu.