JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pada Selasa mendakwa, kos sara hidup pada masa Kerajaan Madani lebih baik berbanding semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Menurutnya, perkara tersebut dapat dilihat apabila membuat perbandingan beberapa barang keperluan asas antaranya harga ayam, minyak masak, bawang besar dan lada hidup.
Bagi membuktikan dakwaan tersebut, beliau berkongsi harga empat barang keperluan asas tersebut bagi kawasan mukim Plentong, Pasir Gudang setakat Selasa dalam akaun Twitter milik beliau.
"Saya Hassan Abdul Karim Ahli Parlimen Pasir Gudang mohon kongsikan infografik ini.
"Kalau fakta dalam infografik ini salah, saya mohon ampun dan maaf. Saya ambil tanggungjawab.
"Tetapi kalau fakta tersebut benar, nampaknya keadaan kos sara hidup sekarang lebih baik dari sebelum ini," ciapnya dalam Tweetnya.
Menerusi ciapan berkenaan, infografik itu membandingkan harga barangan tersebut iaitu harga ayam RM9 satu kilogram (kg) di bawah Kerajaan Madani ketika ini berbanding RM12 untuk 1kg di bawah kerajaan PN.
Begitu juga harga minyak masak RM29.90 sebotol, bawang besar RM1.70 sehingga RM2 satu kg dan lada besar RM12 sehingga RM15 satu kg di bawah Kerajaan Madani.
Ini lebih murah berbanding harga minyak masak RM42 sebotol, bawang besar RM4 sehingga RM5 satu kg dan lada besar RM50 sehingga RM100 satu kg di bawah kerajaan PN.