Momentum kejayaan di tiga negeri PH harus dikekalkan - Kor Ming

Iklan
Kor Ming ketika sidang media pada lawatan kerja “Program Sentuhan Kasih” Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Selangor di Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi. - Foto Bernama

BANGI - Negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mencatatkan kejayaan dalam pengurusan dan momentum itu perlu diteruskan dengan pengundi membuat pilihan tepat pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan, kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, PH mula menerajui Selangor pada 2008 dan pada ketika itu rizab simpanan hanyalah RM430 juta tetapi selepas tiga penggal, jumlah rizab meningkat 10 kali ganda kepada RM3.4 bilion serta merupakan negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara iaitu sebanyak 25.5 peratus.

Iklan
Iklan

"Ini adalah satu rekod yang cemerlang kerana kerajaan berintegriti maka tidak ada ketirisan.

"Negeri makmur, rakyat pun akan dapat pelbagai imbuhan. Dari buaian bayi sampai ke liang lahad semua dapat kebajikan daripada bas percuma, biasiswa, insurans percuma," katanya yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kepada pemberita selepas meninjau Taman Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi hari ini.

Iklan

Pulau Pinang pula katanya, menjadi negeri pengeksport utama negara walaupun negeri kedua terkecil dengan sumbangan sebanyak 30 peratus manakala Negeri Sembilan mencapai guna tenaga penuh apabila kadar pengangguran di tahap 2.55 peratus.

"Ini jelas supaya momentum ini dikekalkan sama ada di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Ini adalah antara pencapaian yang penting," katanya.

Iklan

Tiga lagi negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu akan turut mengadakan PRN pada 12 Ogos ini. - Bernama