KETIKA ditayangkan di pawagam pada tahun 2014, filem Mat Tudung yang dibintangi Datuk Fizz Fairuz (memegang watak Johari / Johanna) mendapat sambutan yang sangat baik dan menggalakkan daripada penonton.
Faktor itu telah memberi idea kepada Fizz untuk menghasilkan prekuel filem berkenaan, namun terpaksa menanti masa yang lama untuk mendapat persetujuan daripada penerbit asal Mat Tudung iaitu Datuk Norman Abdul Halim.
Kini, setelah sembilan tahun, Fizz sudah bersedia dengan filem Mat Tudung Begins. Lebih istimewa, bukan hanya bertindak selaku pelakon utama, naskhah ini juga memperlihatkan kebolehan aktor itu dalam arena pengarahan.
Berkongsi pembabitannya dalam dunia pengarahan, Fizz berkata, dia sebenarnya sudah lama merancang untuk menghasilkan filem tersebut sejak lapan tahun lalu.
"Saya ada tanya pada pihak penerbit sebelum ini sama ada nak sambung atau tidak, tetapi tiada jawapan daripada mereka. Saya pula berminat nak buat sambungannya, cuma ia di bawah produksi Showbiz dan ambil masa juga nak minta kebenaran untuk pembikinannya,” ujarnya.
Bagaimanapun Mat Tudung Begins bukanlah kesinambungan daripada jalan cerita filem pertama.
"Akhirnya hasrat saya ini terlaksana setelah saya dapat kebenaran untuk terbitkan sendiri, tetapi bukanlah Mat Tudung 2. Sebaliknya, ia adalah prekuel yang bermakna kisah yang berlaku sebelum Mat Tudung pertama dan sebab itu tajuknya adalah Mat Tudung Begins.
"Menerusi filem ini, ia menjelaskan tentang bagaimana Johari boleh belajar menjadi Mat Tudung dan rakan yang mencetuskan idea untuk dia menyamar,” jelasnya.
Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Damansara dan Genting Highland, Fizz berkata, filem ini masih mengangkat tema cerita sama iaitu tentang seorang lelaki yang menyamar menjadi wanita untuk menyelesaikan masalah yang melanda sebuah keluarga.
Dalam pada itu, Fizz menyatakan filem pertama arahannya itu menyajikan sebuah jalan cerita yang menarik serta sarat dengan elemen-elemen komedi yang mampu menghiburkan penonton.
"Untuk filem Mat Tudung Begins ini, saya percaya ia lebih kelakar berbanding yang sebelumnya dan saya yakin penonton akan rasa terhibur.
"Selain itu, saya juga menampilkan barisan pelakon-pelakon yang hebat dan turut diserikan lagi dengan kemunculan dua orang pempengaruh media sosial terkenal,” jelasnya.
Selain Fizz, antara pelakon yang membintangi filem ini adalah Achey, Isyariana, Fazlina Ahmad Daud dan Kazar Saisi serta dua pempengaruh popular iaitu Maryam Durian Kimchi dan Mimi Peri.
Berkongsi cabaran untuk menghasilkan filem Mat Tudung Begins, Fizz berkata, dia memikul tugas berat bukan hanya sebagai pelakon dan pengarah, tetapi juga penerbit.
"Nak merealisasikan impian saya ini bukanlah mudah, sehinggakan saya terpaksa menunggu selama sembilan tahun.
"Saya lakukan pelbagai usaha, misalnya cari duit modal untuk pembikinan, jumpa orang sana sini... alhamdulillah, saya telah ditemukan dengan seorang insan yang bantu saya merealisasikannya,” katanya mengenai filem yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 3 Ogos 2023.