Ubah suai melampau: Pangsapuri sekitar Taman Datuk Harun jadi contoh negatif

Iklan
Berdasarkan tinjauan rumah aras bawah sekitar Taman Datuk Harun didapati banyak membuat pengubahsuaian.

PETALING JAYA - Penghuni beberapa unit di pangsapuri kos rendah dilihat mengubah suai kediaman mereka menjadi lebih besar sehingga kelihatan agak melampau.

Isu ini kerap dikongsi menerusi hantaran di laman sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi dan kecaman orang ramai yang menyifatkan ia mengundang bahaya.

Iklan
Iklan

Antaranya tindakan pemilik yang mengubah suai rumah pangsapuri secara melampau di sekitar Taman Datuk Harun dan kawasan ini kerap dijadikan contoh negatif oleh netizen.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian rumah aras bawah didapati banyak membuat pengubahsuaian malah rumah di tingkat satu turut melakukannya.

Iklan

Badan Pengurusan Bersama (JMB) di pangsapuri itu yang ditemui mengakui pengubahsuaian di pangsapuri dibuat sejak belasan tahun lalu tanpa sebarang kelulusan.

Bagaimanapun pihak terbabit tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara itu kerana bimbang keselamatan mereka terancam dan dituduh membuat pengaduan kepada media.

Iklan

"Memang pengubahsuaian itu dibuat tetapi sudah lama, kami juga tidak mampu untuk berbuat apa-apa," katanya jurucakap JMB pangsapuri itu yang enggan mendedahkan identiti.

Menurutnya, dia juga pernah 'diserang' sebanyak dua kali oleh pihak terbabit walaupun pihaknya tidak membuat sebarang aduan kepada mana-mana pihak mengenai perkara itu.

"Mereka juga mendakwa telah mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan sebelum ini ketika itu pihak pengurusan lain yang menguruskan kawasan ini," tambahnya.

Pangsapuri berkenaan diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sehingga 2009 dan diambil alih oleh Pejabat Pesuruhjaya Bangunan (COB) pada 2010.

Kemudiannya tender bagi menguruskan pangsapuri berkenaan dibuka dan JMB sedia ada menguruskannya bermula pada 2016 sehingga kini.

Keadaan rumah di kawasan pangsapuri kos rendah yang melakukan pengubahsuaian.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak pernah memandang ringan mengenai isu berkenaan sebaliknya memandang serius terhadap kerja ubah suai kediaman.

Perkara itu dinyatakan beberapa kali kepada media malah MBPJ juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik rumah yang melakukan pengubahsuaian tanpa mendapat kelulusan.

Tindakan mengubah suai rumah tanpa kelulusan bakal mendatangkan pelbagai risiko tidak diingini sekali gus mengganggu ketenteraman awam dan akan menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat.

Ini berdasarkan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974) sebarang kerja pembinaan untuk mengubah suai dan membuat binaan tambahan kepada struktur bangunan yang sedia ada perlu mendapatkan kelulusan secara bertulis daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.

Malah jika gagal untuk mematuhinya, tindakan perundangan akan diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sehingga perobohan dijalankan.

Bukan hanya MBPJ bagi kawasan pentadbiran Petaling Jaya malah Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga tidak akan berkompromi dalam isu pengubahsuaian tanpa kebenaran.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, tindakan mengubahsuai rumah tanpa kelulusan pihaknya mendatangkan ancaman sekiranya binaan itu tidak menepati ciri keselamatan ditetapkan sekali gus menimbulkan risiko kepada penduduk lain.

"Penguatkuasaan berterusan akan dijalankan oleh semua jabatan yang terlibat bagi memastikan tiada pihak yang ingkar dengan arahan yang ditetapkan MPK,” katanya kepada Sinar Harian.