BATU GAJAH -"Ayah dan mak tak ada lesen kereta, kalau mahu ke mana-mana memang nenek yang bawa," kata Mohd Ikman Hafifi Mohd Ramddan, 17, anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu pada Isnin.
Kejadian sekitar jam 5.20 petang itu mengorbankan Mohd Ramddan Abd Rahim, 44, dan isteri Kisdalliana Saad, 43, apabila kereta dinaiki terbabas selepas menghantar anak sulung mendaftar ke Kolej Matrikulasi Perak dekat Gopeng.
Nahas turut mengakibatkan Ibu Kisdalliana, Noraini Ahmad, 63, yang memandu kereta serta seorang anak perempuan pasangan terbabit, Nur Fatihah Najihah, 7, cedera parah di bahagian kepala.
Mohd Ikman Hafifi anak kedua daripada empat beradik berkata, sudah menjadi kebiasaan sejak dahulu neneknya memandu kereta.
Malah katanya, segala urusan beli barang terutama keperluan sekolah akan dilakukan neneknya.
"Ayah dan ibu cuma ada lesen motosikal, jadi kalau kami adik-beradik nak beli barang-barang sekolah, nenek yang akan tolong hantar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Serkai Jadi dekat Tronoh di sini pada Selasa.
Dia mengakui masih terkejut dengan pemergian kedua ibu bapanya itu apatah lagi meninggalkan mereka yatim piatu.
Katanya, malam sebelum kejadian, mereka sekeluarga mesra berbual bersama dan berkumpul mengemas barang keperluan kakak sulungnya untuk mendaftar masuk ke kolej.
"Saya dan seorang lagi adik, Mohd Aiman Daniel, 13, sepatutnya ikut sama hantar kakak, tetapi tak jadi sebab ibu minta kami duduk jaga rumah.
"Cuma sebelum bergerak, mak pesan supaya saya tengok-tengokkan adik dan minta saya tidak lupa hantar serta jemput adik dari sekolah," katanya.
Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serkai Jadi, Tronoh jam 11.45 pagi pada Selasa.
Difahamkan, Noraini selamat menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di kepala di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan masih dalam pemantauan hospital.
Anak sulung pasangan itu, Nur Fatin Syafikah, 18, turut berada di HRPB bagi menguruskan urusan pembedahan Nur Fatihah Najihah.