HASRAT Malaysia untuk mengungguli Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai 2023 tidak kesampaian setelah tewas kepada pasukan tuan rumah, Thailand 0-2 dalam acara antara regu di Korat pada Selasa.
Trio negara yang dibarisi tekong, Syahir Rosdi diapit Khairol Zaman Hamir Akhbar dan pengumpan, Amirul Zazwan Amir memberi tentangan sengit pada set pertama dalam aksi final Divisyen Perdana yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Korat.
Silih berganti mata, Malaysia membuatkan regu Thailand menerusi tekong, Pornthep Tinbangbon, diapit di kanan Varayut Jantarasena serta Pattarapong Yupadee selaku apit kiri berasa cemas.
Thailand yang berada di depan dengan mata 18-15 menukar taktikal permainan apabila memasukkan tekong berbisa mereka, Siriwat Sakha bagi menggantikan Pornthep.
Ternyata percaturan itu berbaloi apabila Thailand menutup set pertama dengan kemenangan 22-20.
Memasuki set kedua, Pornthep dimasukkan semula untuk mengimbangi cabaran skuad sepak takraw negara dan Thailand tenang di depan.
Biarpun regu negara cuba memberi tentangan sengit, namun Malaysia terpaksa akur tewas kepada Thailand 16-21 untuk pasukan tuan rumah mempertahankan kejuaraan yang diraih pada edisi lalu.
Malaysia mara ke final setelah menumpaskan India 21-19, 21-13 dalam aksi separuh akhir pada Isnin, manakala Thailand mengalahkan Myanmar 21-9, 21-9.