BANGKOK - Perdana Menteri sementara Thailand Prayuth Chan o-cha mengumumkan persaraannya daripada arena politik, beberapa hari sebelum Parlimen bersidang mengadakan undian memilih perdana menteri baharu.
Bekas ketua tentera yang mengetuai rampasan kuasa pada 2014 dan kemudian dilantik sebagai perdana menteri pada pilihan raya 2019 berkata beliau turut meletak jawatan dalam Parti United Thai Nation (UTN).
"Saya berharap agar pemimpin parti, ahli lembaga eksekutif dan ahli akan meneruskan aktiviti politik dengan ideologi yang kukuh, melindungi dan memelihara negara, agama, dan sistem beraja, serta menjaga rakyat Thailand.
"Saya harap rakyat terus percaya dan menyokong UTN,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook UTN.
Pengumuman itu dibuat ketika parlimen baharu dijadual bersidang pada Khamis untuk melaksanakan pengundian bagi memilih perdana menteri baharu.
Pengumuman itu sudah dijangka selepas UTN hanya memenangi 36 daripada 500 kerusi dewan pada Pilihan Raya Umum pada 14 Mei lalu.
Pada Isnin, ketua parti UTN Pirapan Salirathavibhag berkata parti itu tidak akan mencalonkan Prayuth sebagai calon perdana menteri parti itu.
Beliau juga mengumumkan bahawa parti itu tidak akan bertanding jawatan perdana menteri.
Prayuth yang berusia 69 tahun berkata beliau telah mencapai"banyak kejayaan" sepanjang tempoh sembilan tahun pentadbirannya.
"Saya telah bekerja dengan tekad dan penuh dedikasi untuk melindungi negara, agama, dan sistem beraja demi kepentingan rakyat. Ia mendatangkan keuntungan untuk rakyat.
"Saya berharap kerajaan akan datang akan terus memajukan negara,” katanya.
Prayuth telah berdepan pelbagai cabaran termasuk kes mahkamah, usul undi tidak percaya dan protes jalanan sepanjang sembilan tahun memegang jawatan perdana menteri.
Parlimen baharu akan bersidang pada Khamis untuk mengadakan undian memilih perdana menteri baharu. Perdana menteri perlu memperoleh sekurang-kurangnya 376 undi. - Bernama