Bersatu tak pernah tolak bentuk negara masyarakat majmuk

Iklan
Dr Mohd Yadzil Yaakub - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah menolak pembentukan negara berasaskan masyarakat majmuk.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, perkara itu menjadi pegangan parti itu kerana negara ini wujud dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama.

Iklan
Iklan

"Kita tidak pernah tolak asas negara ini kerana pemimpin yang ada sekarang berada dalam parti sebelumnya iaitu UMNO.

"Bersatu adalah pengganti UMNO yang membawa mandat rakyat terutama orang Melayu dan Islam,” katanya pada Wacana siri ke 405 ‘PRN: Banyak isu belum selesai?’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Turut menjadi panelis Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, RSN Rayer; Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dengan program dihoskan oleh Ismail Adnan.

Mohd Yadzil turut menegaskan bahawa Bersatu tidak pernah menolak perpaduan tetapi mahu bentuk kerajaan bersih dan membawa suara Melayu.

Iklan

"Kami masih tetap meneruskan kempen ‘No Anwar, No DAP’ serta menolak prinsip yang dibawa oleh DAP, sebab itu kami menolak Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang.

"Kami memilih untuk menjadi pembangkang dan membawa suara rakyat yang lebih baik,” jelasnya.

Mengulas lanjut berkenaan kepimpinan tertinggi parti itu yang terpalit dengan kes rasuah, Mohd Yadzil mengakui ianya amat menyukarkan namun setiap perjuangan ada pengorbanannya.

Tambahnya lagi dalam menghadapi situasi itu juga Bersatu tidak bergantung pada Pas, tetapi kedua-dua parti itu memerlukan antara satu sama lain.

"Kenapa nampak banyak kepada Pas kerana ada tiga negeri diwakili oleh Pas majoriti memang dia perlu banyak kerusi, itu kerusi tetap mereka tak boleh tukar,” ujarnya.

Mohd Yadzil berkata, di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, tetap yang majoriti adalah Bersatu.

"Kami saling menghormati, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghormati kedudukan Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang menghormati Bersatu dan tiga negeri yang lagi,” tegasnya.