Isu 3R: 'Ini amaran terakhir daripada kerajaan' - PM

Iklan
Anwar Ibrahim. - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memberi amaran terakhir pada mana-mana pihak yang memainkan sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum) sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu mengatasi kepentingan mana-mana pihak dan melibatkan soal keselamatan negara.

Iklan
Iklan

"Ini mengatasi kepentingan kerana orang-orang tertentu merasakan kedudukan mereka terlalu tinggi dan hebat, tidak mungkin terdakwa atau tercabar.

"Negara tidak boleh begitu. Kita tidak boleh pandang dan pilih kedudukan, pangkat, keturunan atau kekayaan.

Iklan

"Kalau begini pandangan merosakkan. Saya rasakan keadaan ini agak serius kerana sudah puluhan tahun kita belum nampak atau lihat kenyataan yang melampau yang dibiarkan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan berhubung tindakan pihak-pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan menyentuh isu 3R.

Iklan

Dalam pada itu, ujar Anwar, pihak berkuasa melakukan pemantauan tanpa berkecuali terhadap semua pihak tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

"Setakat yang saya dimaklum oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), ia tanpa kecuali, pantau semua.

"Kalau pelampau itu orang Melayu, Cina, Tamil atau berpangkat tinggi sekali pun, itu bukan persoalannya.

"Kalau langgar peraturan, mencabar perlembagaan dan menyemai bibit-bibit perpecahan konsesusnya bukan sahaja dalam kerajaan, parti malah saya dalam perbincangan dengan Raja-Raja Melayu menggesa supaya negara ini diselamatkan dari kelompok-kelompok yang sangat terdesak mempertahankan kuasa sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat, menimbulkan huru-hara serta perpecahan," ujarnya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad, mengesahkan menerima beberapa laporan polis berhubung kenyataan Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Bagan itu disiasat selepas mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang ketika berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore-Malaysia’.

Selain itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut disiasat susulan kenyataan yang dibuatnya berhubung dakwaan DAP yang mahu mengekalkan pengertian Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang diamalkan oleh negara Barat.

Kenyataan tersebut dipercayai dilakukan menerusi hantaran di halaman Facebook Abdul Hadi Awang pada 8 Julai lalu.