'Tiada ugutan arah mahasiswa sertai townhall MB Terengganu'

Iklan
Wan Sukairi

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menafikan wujud paksaan terhadap mahasiswa supaya menyertai program bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Bangi, pada Ahad lalu.

Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tuduhan kononnya berlaku ugutan untuk menyekat elaun sara diri terhadap mahasiswa di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT) adalah tuduhan berat dan tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

Menurutnya, YT telah mengeluarkan surat jemputan mengenai program Townhall Mahasiswa Perantau Terengganu bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Bangi Convention Centre kepada golongan mahasiswa yang berada di Lembah Klang.

"Dalam program tersebut, Menteri Besar ada berkongsi tentang pengalaman dan kejayaannya dalam bidang akademik sebagai panduan kepada mahasiswa yang hadir.

Iklan

"Beliau turut berpesan supaya anak-anak mahasiswa melengkapkan diri dengan jati diri Melayu dan Islam selain memantapkan kemahiran insaniah agar terus terkehadapan sama ada ketika di alam universiti mahupun pekerjaan.

"Saya turut hadir dalam program itu dan sepanjang perkongsian selama dua jam tersebut, tidak pernah sekali beliau menyebut apa-apa isu politik, apatah lagi mengajak mahasiswa untuk mengundi Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu yang tular di media sosial pada Selasa mengenai wujudnya ugutan untuk menyekat elaun sara diri terhadap mahasiswa di bawah Skim Pelajar Cemerlang (SPC) yang gagal hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Melalui perkongsian tular media sosial itu, ada pihak mendakwa tindakan memaksa mahasiswa hadir pada program berkenaan adalah sangat tidak wajar kepada mereka sedang sibuk membuat persiapan di akhir semester.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, siasatan dalaman akan dilakukan bagi menyiasat sejauh mana kebenaran maklumat yang tular tersebut.

"....(berkaitan ugutan yang tular di media sosial), biarlah Yayasan Terengganu buat siasatan dahulu, dapatkan maklumat yang betul sebelum tindakan selanjutnya diambil," ujarnya.

Sementara itu, Yayasan Terengganu (YT) menafikan mengeluarkan ugutan termasuk menyekat bantuan sara hidup kepada penuntut yang gagal menyertai program Townhall Mahasiswa Anak Terengganu di Bangi, Selangor, Ahad lalu.

Pengarah YT, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham mengakui ada mengeluarkan surat jemputan kepada penuntut beberapa Universiti Awam (UA) untuk menghadiri program berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tiada paksaan terutama mewajibkan penuntut yang menerima bantuan atau yuran daripada YT dikeluarkan.

"Kita hanya mengeluarkan surat jemputan kepada penuntut di beberapa UA di sekitar Lembah Klang menghadiri program yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang diadakan di Bangi Convention Centre, Ahad lalu.

"Tetapi kita menegaskan tidak mengeluarkan surat paksaan termasuk berbaur ugutan bagi menyekat elaun sara hidup atas kegagalan penuntut menghadiri program itu," jelas beliau.