PETALING JAYA - Sebanyak 104 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian lebih RM1.23 juta berkaitan sindiket penipuan tawaran kerja bermula Januari sehingga Jun ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Zolkifly berkata, kesemua kertas siasatan itu berdasarkan laporan yang diterima daripada mangsa di daerah ini.
"Antara modus operandi dikesan adalah sindiket bertindak menghantar kiriman WhatsApp dengan menawarkan kerja sambilan serta menjanjikan pulangan komisen yang lumayan kepada mangsa.
"Mangsa diminta untuk membuat bayaran terlebih dahulu kepada suspek menerusi keldai akaun sebelum dibayar mengikut komisen yang dijanjikan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, mangsa akan melalui beberapa peringkat sehinggalah satu tahap di mana komisen tidak lagi dibayar sebagaimana yang dijanjikan.
"Mangsa akan sedar tertipu apabila tidak lagi menerima bayaran komisen dan suspek gagal untuk dihubungi," katanya.
Menurutnya, masyarakat diingatkan agar lebih peka terhadap mana-mana kiriman WhatsApp yang mencurigakan.
"Jangan terperdaya dengan tawaran pulangan lumayan yang dijanjikan dalam masa singkat terutamanya melibatkan tawaran pekerjaan menerusi dalam talian.
"Semak dahulu sebelum berurusan dengan mana-mana pihak yang tidak dikenali dan ambil langkah berhati-hati sebelum melakukan sebarang tindakan," katanya.