PENGENALAN BMW i3s menjadi penambahan terbaharu dalam portfolio kenderaan Mobiliti Bervisi BMW Group Malaysia dan ia memperkukuhkan kedudukan BMW Group Malaysia sebagai pembekal e-mobiliti terkemuka di dalam negara.
Sejajar dengan matlamat BMW Malaysia untuk membawa kelestarian masa hadapan ke aras yang baharu, pengenalan BMW i3s yang sulung ini menyumbang kepada Polisi Automotif Nasional 2014 yang menyasarkan Malaysia sebagai hab serantau bagi kenderaan efisien tenaga (EEV) menjelang tahun 2022.
Di peringkat global, lebih 120,000 unit BMW i3 telah diserahkan kepada pelanggan. I3s bukan sekadar sebuah kenderaan elektrik berkuasa tinggi, malah ia turut dilengkapi 80 peratus sumber yang dikitar semula. BMW i3s merupakan kenderaan iPerformance pertama yang didokong oleh platform ChargEV, hasil usaha sama di antara BMW Group Malaysia dan GreenTech Malaysia.
Ketua Unit Jualan BMW Malaysia, Raymond Tan berkata, BMW i3s yang pertama ini membuktikan komitmen syarikat bagi membentuk mobiliti masa hadapan di Malaysia.
"Secara berterusan, kami telah memacu inisiatif untuk inovasi, keupayaan pemasangan di peringkat tempatan serta kesedaran terhadap teknologi baharu dan bersih bagi industri automotif selain membangunkan infrastruktur untuk kenderaan premium di Malaysia,” ujarnya.
Prestasi dinamik
BMW i3s tampil dengan bampar hadapan berbentuk U berwarna hitam. Selain gril ‘kidney’ yang ditutup dengan kemasan hitam berkilat memberikannya keterampilan tersendiri. Lampu hadapan LED penuh didatangkan sebagai ciri standard. Manakala lampu indikator diintegrasikan secara melintang pada bampar hadapan.
Dari bahagian belakang pula, BMW i3s tampak garang dengan kehadiran spoiler belakang bervarian spesifik dan keliling lebar berwarna hitam. BMW i3s turut dilengkapi sistem suspensi sport yang menurunkan kereta ini sebanyak 10mm. Sementara trek tayar dilebarkan sehingga 40mm untuk menawarkan pengendalian lebih lasak. Jentera itu pula dikemaskan dengan rim aloi ringan BMW i3s bersaiz 20 inci.
BMW i3s yang pertama telah dibuktikan sebagai entiti pacuan yang paling ‘hijau’ pernah dibangunkan oleh BMW. Jentera bebas emisi ini dikuasakan oleh motor elektrik bersinkronisasi dengan Transmisi Automatik Satu Kelajuan. Direka untuk prestasi berkuasa tinggi, BMW i3s boleh menjana kelajuan tertinggi mencecah 160 km/j. Kenderaan elektrik tulen ini dapat menjana output maksimum sebanyak 135 kW/184 kk, dengan puncak tork berjumlah 270 Nm.
Jentera ini juga mampu memecut dari kelajuan 0 sehingga 100 km/j hanya dalam masa 6.9 saat. Bateri ion litium bervoltan tinggi yang terletak di paras rendah pada bahagian lantai kenderaan ini memberikan BMW i3s julat jarak yang berjumlah 260 km berasaskan julat Elektrik Orientasi Pengguna untuk kegunaan harian.
Penggunaan kuasa elektrik gabungan bagi BMW i3s terbaharu melalui kitaran NEDC dibaca pada tahap 14.3 kWj untuk setiap 100 km. BMW i3s yang pertama dirumus untuk dinamik pemanduan yang mengagumkan serta kelincahan pengendalian yang tiada tandingannya.
Bantuan pintar
BMW i3s ditawarkan bersama BMW ConnectedDrive dan platform digital inovatif bersama dengan servis yang merangkumi Panggilan Kecemasan Pintar, Servis Rencam dan Servis Jarak Jauh. Pemilik boleh mengharapkan pengalaman pemanduan yang lancar daripada jentera elektrik BMW ini.
Antara tawaran lain yang melengkapi BMW i3s ialah Sistem Bantuan Pemandu, menolong pemandu menghadapi pelbagai situasi trafik.
Antara kemudahan lain ditawarkan ialah Kamera Pandang Belakang, Kawalan Jarak Parkir, Kawalan Luncur Aktif dengan fungsi Stop & Go, Amaran Perlanggaran dan Pejalan Kaki dengan Fungsi Pembrekan Bandar serta Bantuan Kesesakan Trafik.
BMW i3s yang sulung juga didatangkan dengan sistem operasi iDrive yang dikemas kini, ia membolehkan pemandu mengawal pelbagai aspek seperti kefungsian kenderaan, maklumat hibur, komunikasi dan navigasi.
Penawaran warna bagi BMW i3s yang pertama meliputi warna bukan metalik yang menarik, iaitu dan Capparis White serta warna metalik yang anggun - Mineral Grey. Semua warna digandingkan dengan sorotan warna biru eksklusif, BMW i Blue.BMW i3s dijual pada harga RM279,000 seunit. Dengan Balloon Financing Plan yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW i3s yang pertama boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula dari RM3,188 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus bagi tempoh lima tahun).