Tahanan lari dari IPD Dang Wangi diberkas semula

Iklan
Video tular memaparkan suspek melarikan diri dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Shuhaily

KUALA LUMPUR - Polis berjaya memberkas semula seorang lelaki yang melarikan diri dari tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Selasa, dalam tempoh empat jam.

Suspek warga tempatan berusia 45 tahun itu melarikan diri pada jam 9.40 pagi semasa hendak dibawa menaiki lori polis untuk dibawa ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, bagi proses pertuduhan berkaitan kes Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek terbabit diberkas pada jam 1.50 tengah hari di Jinjang.

"Bayangkan di tengah-tengah kesibukan bandar raya Kuala Lumpur ini adalah amat sukar untuk kita (polis) mengesan dan menangkap semula suspek, namun kita berjaya menahan lelaki itu dalam tempoh empat jam selepas dia melarikan diri," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Iklan

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya juga turut menjalankan siasatan terhadap enam anggota polis yang terbabit dalam penugasan menguruskan suspek terbabit.

"Kita sedang meneliti sama ada kejadian ini disebabkan kelalaian oleh anggota polis atau kelicikan suspek sehingga dia berjaya melarikan diri.

Iklan

"Kertas siasatan sudah dibuka dan tindakan lanjut akan diambil terhadap anggota polis terbabit sekiranya didapati mereka cuai atau lalai," katanya.

Mohd Shuhaily turut merakamkan penghargaan terhadap Polis Daerah Dang Wangi yang segera bertindak pantas menjalankan Operasi Cari (Op Cari) sehingga berjaya menahan semula suspek.

Terdahulu tular dua video di media sosial yang memaparkan suspek terbabit melarikan diri dengan memanjat pagar belakang IPD Dang Wangi serta melintas jalan di hadapan Kompleks Wilayah menuju ke arah sebuah pusat beli-belah.