Lebih 40 ekor lembu mati disyaki keracunan

Iklan
Keadaan lembu didakwa mengalami simptom kurang aktif, keluar lendiran cecair dari mulut dan hilang selera makan. Gambar kanan: Keadaan seekor bangkai anak lembu yang baru dilaporkan mati pada Selasa.

SUNGAI PETANI - Beberapa penternak di Kampung Sungai Tok Pawang, Bedong di sini runsing memikirkan lebih 40 ekor lembu mati sejak seminggu lalu disyaki keracunan menyebabkan kerugian mencecah RM200,000.

Penternak, Thines Krishnan, 32, berkata, kesemua lembu yang mati kebanyakan masih kecil iaitu berusia antara beberapa bulan hingga lima tahun.

Thines Krishnan

Iklan
Iklan

Dia yang menternak lembu bersama beberapa rakan lain mendakwa, antara simptom yang dikesan terhadap haiwan ternakan itu termasuk hilang selera makan, tidak aktif, keluar lendiran cecair dari mulut dan perubahan pada najis.

"Sedih melihat seekor demi seekor jatuh sakit setiap hari dan mati dalam keadaan berbuih di mulut dan keluar darah melalui hidung, perut pula kembung, mungkin keracunan lepas minum air di sungai," dakwanya.

Iklan

Justeru, dia menggesa agar siasatan sewajarnya dilakukan pihak bertanggungjawab kerana lebih 60 tahun keluarganya menjalankan kegiatan penternakan sehingga kini generasi ketiga, ini kejadian pertama berlaku.

Lembu hanya dibiarkan meragut di kawasan berdekatan berbanding sebelum ini dilepas dalam kawasan penternakan seluas kira-kira 60,000 meter persegi.

"Selepas melihat banyak yang sakit, kami kuarantin beberapa hari dan hanya benarkan meragut rumput di kawasan berdekatan berbanding pada hari kebiasaan membabitkan keluasan kira-kira 60,000 meter persegi.

Iklan

"Walaupun dikawal pergerakan dan jaga pemakanan, masih ada yang mati setiap hari menyebabkan kami runsing, termasuk baka serta ibu yang menyusukan anak kecil," dakwanya.

Rakannya, Yugesh Nadarajan, 25, berkata, kejadian pertama disedari pada Rabu lalu apabila seekor anak lembu berusia lebih setahun didapati mati berdekatan anak sungai kira-kira 500 meter dari kandang kira-kia jam 7 petang.

"Selepas itu, seekor lagi lembu dilaporkan mati pada jam 8 malam dan jumlah kematian meningkat dari hari ke hari, sehingga kini lebih 40 ekor dah mati," dakwanya.

Lebih 40 lembu mati sejak Rabu dan kini hanya tinggal kira-kira 20 ekor lagi yang dikesan kemungkinan mengalami simptom sama.

Yugesh berkata, kesemua lembu yang diternak berjumlah 67 ekor dan kini berbaki lebih 20 ekor sahaja.

"Baki lembu yang tinggal yang didapati sakit sudah diberikan rawatan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, tetapi kita masih bimbang jika jumlah kematian meningkat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, laporan polis diterima pada 8 Julai lalu memaklumkan sebanyak 18 ekor lembu telah mati ketika itu, namun jumlah bertambah sehingga kini mencecah 40 ekor.

"Penternak memang perasan lembu nampak tak sihat dan telah rujuk kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Sampel telah diambil (Jabatan Perkhidmatan Veterinar) dan kini menunggu laporan daripada hasil siasatan mereka," jelasnya.