KOTA BHARU - Pasangan suami isteri dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Kelochor di sini sudah setahun lebih tidak dapat tidur nyenyak setiap kali memikirkan keadaan anak bongsu yang menghidap sindrom Pfeiffer.
Penyakit itu menyebabkan Muhammad Azril Azhar yang berusia setahun mengalami kepala yang besar serta perubahan pada bentuk wajahnya.
Azhar Che Amat, 52, dan isteri, Maznah Omar, 40, terpaksa tidur-tidur ayam kerana bimbang jika anak bongsu daripada tiga beradik itu tersedar dan menangis, ia akan menyebabkan biji matanya terkeluar.
"Ini kerana setiap kali menangis biji matanya akan terpancul keluar dan kami perlu memasukkannya kembali. Disebabkan itu, walaupun Muhammad Azril sudah berusia setahun namun dia terpaksa tidur di atas dada saya untuk memastikan mudah tersedar jika berlaku sesuatu," kata Maznah kepada pemberita di sini pada Rabu.
Sebelum itu keluarga ini menerima lawatan daripada aktivis masyarakat, Amran Rahman.
Menurut Maznah, walaupun keadaan fizikal kepala anaknya membesar serta wajahnya berubah tetapi kanak-kanak itu aktif dan sihat.
Ujarnya, Muhammad Azril sentiasa memberi respon setiap kali namanya dipanggil, serta mampu menggerakkan anggota badan yang lain seperti tangan dan kaki.
Maznah memberitahu, pihak hospital ada memberi pandangan supaya anaknya itu menjalani pembedahan bagi membuang air berlebihan di kepala namun mereka belum bersedia.
"Tunggulah anak berusia dua tahun dahulu, kami tidak sanggup melihat dia melalui pelbagai rawatan.
"Kerana sebelum ini kami hampir kehilangan Muhammad Azril apabila rawatan yang dilalui nyaris meragut nyawanya," ujar dia.
Tambah suri rumah itu, ia ditambah dengan kos pembedahan yang mencecah sehingga RM70,000 serta perlu berulang alik ke Kuala Lumpur.
Menurut Maznah, semua itu sukar serta diluar kemampuan dia dan suami yang hanya bekerja sebagai buruh binaan.
Dia memberitahu, walaupun mendapat bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ia belum cukup untuk menampung keperluan Muhammad Azril yang bergantung sepenuhnya kepada susu dan makanan khas serta lampin pakai buang.
"Kami juga mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah menengah dan tadika," katanya.
Keluarga ini juga pernah menerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada tahun 2018 sehingga 2022 dengan jumlah yang berbeza setiap tahun.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Azhar Che Amat, 03-120-02-001832-5.