KOTA KINABALU - [KEMAS KINI] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengadakan 'roadshow' khas mengenai pindaan akta berkaitan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) sebelum ia dilaksanakan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Edwin Galan Teruki berkata, OKK perlu ditubuhkan di premis yang ditetapkan terutama bangunan yang berisiko tinggi dari segi keselamatannya.
Katanya, OKK amat penting dalam industri kerana ia bukan seperti Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) sahaja tetapi lebih tinggi daripada itu.
"OKK ini akan dipertanggungjawabkan kepada orang yang dilantik oleh pemilik atau penghuni premis mengenai hal-hal keselamatan di bangunan tersebut jika berlakunya kebakaran selain turut bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pemasangan sistem keselamatan dan mengelak adanya bahaya yang boleh mencetus kepada kebakaran di premis berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran Negeri Sabah 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu.
Sebelum itu beliau diminta mengulas mengenai OKK antara topik yang disentuh dalam seminar yang melibatkan lebih 700 peserta daripada pelbagai syarikat di Sabah dan Labuan.
Tambah beliau lagi, premis yang sepatutnya diwujudkan OKK adalah membabitkan bangunan yang berkapasiti atau berkeluasan yang besar atau tinggi.
"Kriteria yang ditetapkan secara kasarnya adalah hotel yang mempunyai lebih 100 bilik, kilang yang besar yang mempunyai sistem sprinkler automatik dan juga bangunan serta pejabat yang mempunyai sistem berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, bagi pelaksanaan penubuhan OKK itu satu roadshow khas mengenainya akan diadakan dan ia mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan hingga ke satu tahun bagi membuat persiapan.
"Roadshow belum lagi dilaksanakan tetapi mungkin hujung tahun ini akan diadakan," katanya.