Masyarakat Madani mampu capai kemajuan tanpa bezaan warna kulit

Iklan
Jakim menyatakan masyarakat Madani mampu mencapai kemajuan yang seimbang tanpa perlu membelakangkan mereka yang berlainan warna kulit, kaum, bahasa atau jantina.

KUALA LUMPUR - Masyarakat Madani mampu mencapai kemajuan yang seimbang tanpa perlu membelakangkan mereka yang berlainan warna kulit, kaum, bahasa atau jantina, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jakim berpandangan rakyat wajib saling mengenali ke arah memperkukuh masyarakat Madani yang membangun daripada segi kecerdasan dan hati, sains, teknologi dan telekomunikasi.

Iklan
Iklan

"Li ta’arafu (saling mengenali), bahawa kesemua suku kaum dan bangsa, individu lelaki dan wanita, semua ialah satu keluarga manusia yang mulia, yang perlu hormat menghormati dan saling melindungi satu sama lain.

Jakim mengeluarkan ulasan itu sempena tema sambutan Maal Hijrah 1445H iaitu ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.

Iklan

Maal Hijrah 1445H diraikan pada 19 Julai dengan majlis peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut Jakim, nilai penting masyarakat seperti keamanan, kedamaian dan ketenteraman adalah antara anugerah tertinggi daripada Tuhan, dan Islam mewajibkan hubungan sesama manusia berdasarkan rasa belas ihsan, kemesraan dan setia kawan.

Iklan

Ia seterusnya menggalakkan sifat berlapang dada, saling memaafkan kelemahan, bermurah hati, ramah tamah serta suka cita apabila orang lain meraih kejayaan dan kemakmuran.

"Allah melarang kita daripada menghina benda-benda sembahan penganut agama lain kerana akan menimbulkan kemarahan, dendam dan kedengkian hingga mereka membalas menghina Allah secara yang melampaui batas permusuhan dan dengan ketiadaan pengetahuan (al-An'am, 6: 108),” katanya.

Menurut Jakim, sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dalam kezaliman, bermusuhan dan saling membenci tidak wajar digalakkan di bumi bertuah ini.

Katanya, aset negara yang paling mahal ialah warga Malaysia yang mengutamakan kerukunan, kedamaian dan kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran untuk menongkah masa depan, selaras dengan tema Maal Hijrah tahun ini. - Bernama