Geng 'KTM Duke' samun premis 24 jam tumpas

Iklan
Fadzil (dua, kanan) menunjukkan senjata parang yang digunakan geng 'KTM Duke' yang terlibat dalam kes samun premis serbaneka 24 jam di sekitar Lembah Klang sejak Januari lalu.

SHAH ALAM - Enam lelaki ahli geng 'KTM Duke' berusia lingkungan 21 hingga 26 tahun berjaya ditahan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor dalam lima serbuan berasingan sekitar Selangor, kelmarin

Ketua JSJ Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, serbuan ini membawa rampasan dua buah motosikal jenis KTM Duke yang dilapor hilang di Sri Muda dan Selayang.

Iklan
Iklan

"Polis juga merampas tiga bilah parang panjang, beberapa pasang pakaian, sepasang gari, beg serta topi keledar. Selain itu, barang berharga dipercayai hasil samun seperti telefon bimbit, wang tunai serta sejumlah rokok turut ditemui.

"Ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek ini positif dadah selain majoriti daripada mereka memiliki rekod lampau bersabit kes curi kenderaan, samun berkumpulan serta dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Iklan

Fadzil berkata, siasatan mendapati geng ini dipercayai aktif sejak Januari lalu membabitkan 27 kes dengan jumlah kerugian RM68,000 di mana 18 kes adalah di Selangor, manakala sembilan kes lagi di Kuala Lumpur.

Antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya enam ahli geng 'KTM Duke' dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor, kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan, selain premis serbaneka, geng yang aktif di awal pagi dan bergerak secara berkumpulan ini juga mensasarkan stesen minyak.

Iklan

"Suspek akan menyerbu masuk ke dalam premis sebelum mengacukan parang dan mengugut untuk menyerahkan barang berharga, malah suspek juga sanggup mencederakan mangsanya," katanya.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya lagi, dengan kejayaan tumpasnya geng ini, pihaknya juga telah mengenal pasti dan dalam usaha untuk mengesan tiga lagi kumpulan yang menggunakan modus operandi sama untuk melakukan samun di premis 24 jam.

Antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya enam ahli geng 'KTM Duke' dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor, kelmarin.