'Jangan libatkan keluarga saya dalam fitnah PRN' - Sanusi

Iklan
Kenyataan Muhammad Sanusi (gambar kecil) dipercayai mempunyai kaitan dengan penafian beliau pada Selasa berhubung dakwaan memiliki banglo mewah di daerah Sik.

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi amaran terhadap pihak yang cuba mengaitkan ahli keluarganya dalam fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, mana-mana pihak yang berbuat demikian akan menerima akibat daripada perbuatan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serangan kempen PRN seharusnya hanya ditujukan kepada beliau, dan bukannya mengheret seluruh ahli keluarganya.

"Mu kaco (kacau) ku, aku renyeh (senyum) ja. Tapi bila mu kaco (kacau) keluargaku, mu tungung (tanggung). Tak cukok (cukup) tanah mu lari,” kata Muhammad Sanusi menerusi pesanan ringkas yang dimuat naik dalam Facebook miliknya pada Rabu.

Iklan

Kenyataan Muhammad Sanusi itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penafian beliau pada Selasa berhubung dakwaan memiliki banglo mewah di daerah Sik.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu turut memuat naik petikan dalam Bahasa Inggeris yang merupakan antara dialog watak protagonis, Bryan Mills dalam filem Taken 2018 yang dilakonkan pelakon Ireland, Liam Neeson.

Iklan

"Bryan Nusi pernah berkata... I don’t know who you are. I don’t know what you want. If you are looking for ransom, I can tell you I don’t have money. But what I do have are a very particular set of skills, skills I have acquired over a very long career. Skills that make me a nightmare for people like you,”

(Saya tidak tahu siapa awak. Saya tidak tahu apa anda mahukan. Jika anda mencari wang tebusan, saya boleh beritahu anda saya tidak mempunyai wang. Tetapi apa yang saya ada ialah kemahiran sangat khusus, kemahiran telah saya perolehi sepanjang kerjaya sangat panjang. Kemahiran menjadikan saya mimpi ngeri untuk orang seperti awak),” kata petikan tersebut.

Pada Selasa, pejabat Menteri Besar Kedah mengeluarkan kenyataan menepis dakwaan Muhammad Sanusi memiliki banglo mewah di Sik, seperti tular di media sosial.

Kenyataan tersebut memaklumkan, banglo yang terletak berhampiran Hospital Sik itu adalah milik abang Muhammad Sanusi, iaitu Budin yang membina rumah tersebut menggunakan wang simpanan sendiri hasil pendapatannya sebagai pengimpal bawah laut luar pesisir selama puluhan tahun.

Menerusi media sosial, tular gambar banglo tersebut dengan andaian bahawa rumah berkenaan milik Muhammad Sanusi.

Maklumat tular berkenaan dipercayai untuk menimbulkan persepsi bahawa Muhammad Sanusi telah mengumpul kekayaan selepas memegang jawatan Menteri Besar tiga tahun lalu, sebagai kempen PRN pihak tertentu.