KLANG - Dua kejayaan berganda dan hadiah kemenangan geran bernilai RM1.2 juta menjadi pencetus semangat buat Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk mencapai misi status bandaraya tidak lama lagi.
MPK telah dinobatkan Johan Anugerah Pertandingan Anugerah Inovasi Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA), Piala Yang Berhormat Menteri Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan ( KPKT) dan naib johan sukan MALA.
Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan berkata, berbaki 132 hari lagi untuk MPK menuju ke status bandaraya dijangka 23 November depan dan ia menjadi cabaran besar buat kakitangan untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Menurutnya, status menaik taraf bandaraya kini pada fasa terakhir untuk dibentangkan di KPKT.
Selain itu katanya, MPK melalui Jawatankuasa Pemandu Bandaraya Klang yang diketuai Orang Besar Daerah (OBD) Klang, Datuk Muhammed Khusrin Munawi sedang giat memperkasa perkhidmatan perbandaran khususnya pembersihan awam menjelang penarafan itu.
"Di samping itu,rejuvenasi atau kerja-kerja penaiktarafan kawasan pusat bandar Klang Utara dan Klang Selatan akan turut dilaksanakan oleh Jabatan Bangunan.
"Jabatan Taman pula sedang giat melaksanakan kerja-kerja pengindahan dan landskap bandar Klang terutama di laluan utama masuk ke sini,” katanya pada Perhimpunan Warga Kerja MPK bertempat di Dewan Hamzah pada Rabu.
Noraini berkata, Jabatan Kejuruteraan juga akan menaik taraf perabot jalan, kemudahan awam dan infrastruktur.
Ujarnya, sokongan jabatan dalaman serta agensi berkaitan di daerah Klang juga perlu digembleng bersama dalam mencapai misi itu November ini.
"MPK perlu memperkasakan Klang sebagai bandar raya warisan Diraja dan pelabuhan berdaya saing di peringkat global dengan menekankan pembangunan secara mampan, holistik, berimejkan bandar warisan dan sejarah yang menjadi simbol kebanggaan penduduk di sini," katanya.