Baru keluar penjara, bekas banduan dicekup curi kereta

Iklan
Perodua Axia yang dipercayai dicuri dua suspek termasuk seorang bekas banduan.

PETALING JAYA - Tidak sampai empat jam mencuri sebuah kereta di kawasan perumahan di Petaling Utama di sini, dua lelaki termasuk seorang bekas banduan ditahan polis pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Zolkifly berkata, laporan kehilangan kenderaan jenis Perodua Axia itu dibuat seorang wanita kira-kira jam 1.51 petang.

Iklan
Iklan

"Mangsa melaporkan kenderaan miliknya yang diletakkan di kawasan parkir di lokasi kejadian telah hilang dipercayai dicuri.

"Rentetan itu, serbuan dijalankan kira-kira jam 6.30 petang di Taman Sri Sentosa di sebuah stor besi buruk Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur dan berjaya memberkas dua suspek berumur lingkungan 40-an dipercayai terlibat dalam kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Katanya, semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah dan dadah.

"Salah seorang suspek yang diberkas dipercayai baru keluar penjara pada 30 Jun lalu setelah melakukan jenayah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan manakala seorang lagi suspek tidak bekerja.

Iklan

"Serbuan kedua di stor besi buruk Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur berjaya menemui kereta yang dicuri," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta tersebut dicuri dan akan dijual dalam pasaran.

"Kedua-dua suspek kini direman tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan," katanya.