KUALA TERENGGANU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman telah meliputi 100 peratus kawasan pencarian di ketiga-tiga sektor membabitkan keluasan 59.1 kilometer (km) sehingga kuala Sungai Kemaman.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, bagaimanapun sehingga kini masih tiada petunjuk baharu berjaya ditemukan pasukan pencarian bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14.
"Setakat ini, bilangan mangsa yang telah ditemukan masih kekal sembilan dengan hanya satu lagi mangsa masih hilang. Operasi pencarian secara bersepadu juga telah ditamatkan, namun pencarian diteruskan dengan diperkecilkan di peringkat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh dan Chukai.
"Pada Isnin seperti yang dilaporkan media, pasukan pencarian telah menemukan sebuah beg sandang dipercayai milik seorang daripada mangsa.... Itu sahaja petunjuk baharu yang kita ada buat masa ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Bank Simpanan Nasional (BSN) Care Fire Awareness di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu di sini hari ini.
Meskipun berpuas hati dengan keseluruhan sektor pencarian telah berjaya dicakupi, Hassan 'As'ari berkata, orang ramai terutamanya penduduk kampung di sekitar kawasan kejadian diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan yang boleh membantu operasi pihak berkuasa.
"Saya menyeru kepada orang kampung dan komuniti setempat seandainya terjumpa apa-apa peralatan atau barangan yang dipercayai milik mangsa minta tolong serahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk tindakan lanjut.
"Langkah-langkah keselamatan kita serahkan kepada pihak polis untuk pastikan kawasan itu selamat dan tidak dimasuki oleh mana-mana individu yang cuba pergi ke tempat berkenaan," katanya.
Pada 1 Julai lepas, Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta tujuh anak mereka termasuk Putri Nor Fatin dari Felda Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang pergi berkelah ke jeram berkenaan dengan turut disertai Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor.
Kesemua mereka dipercayai dihanyutkan arus deras kepala air dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada 2 Julai selepas mayat Azizah dijumpai penduduk kampung terapung sejauh 24 km dari lokasi kejadian dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, 2 km dari lokasi kejadian.
Setelah seminggu pencarian, sembilan mayat ditemukan dan telah selamat dikebumikan, namun Putri Nor Fatin masih gagal dikesan hingga kini.
Operasi SAR diteruskan dengan skala lebih kecil dan secara pemantauan harian oleh BBP Cheneh dan BBP Chukai serta agensi penyelamat yang lain atas kuasa pentadbiran masing-masing. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati
Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa
Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air
Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal
Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air
Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa
Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata
'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'
Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3
Tragedi kepala air: Dua lagi mangsa dipercayai masih di zon A, B
Tragedi kepala air: Operasi SAR bersambung, fokus di sektor A