Artis, pemain badminton veteran beradu tenaga

Iklan
DJ Dave (empat dari kanan) bersama Fizz Fairuz (dua dari kiri) serta pemain lain pada sidang media Kejohanan Badminton Kebangsaan MMBA 2023 di Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama.

PEMAIN veteran serta beberapa artis ternama merupakan antara peserta yang bakal mewarnai saingan edisi sulung Kejohanan Badminton Kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia Masters (MMBA) 2023 pada 19 dan 20 Ogos ini.

Presiden MMBA, Datuk Irwan Shah Abdullah berkata, antara peserta yang dijadual berentap pada kejohanan berlangsung di Tops Arena Empire, Cheras itu adalah bekas pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Dunia Senior 2015 dan 2017, Chan Wan Seong selain pelakon Datuk Fizz Fairuz dan penyampai radio, Linda Onn.

Iklan
Iklan

Irwan Shah atau lebih dikenali DJ Dave berkata, kejohanan dibuka kepada golongan berusia 35 tahun dan ke atas itu mempunyai tiga kategori terbuka iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu campuran serta dua kategori profesional iaitu perseorangan lelaki dan beregu lelaki.

Katanya, bagi kategori terbuka saingan akan dibahagikan kepada sembilan peringkat umur iaitu 35 hingga 39 tahun diikuti 40-44, 45-49, 50-54, 55-59, 60-64, 65-69, 70-74, 75 dan ke atas.

Iklan

"Kami menyasarkan 500 penyertaan untuk kejohanan yang bakal berlangsung selama dua hari ini. Objektif utama kejohanan ini adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu.

Penyanyi berusia 75 tahun itu juga berkata, kejohanan yang mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 untuk juara, RM500 untuk naib juara dan RM250 bagi pemenang tempat ketiga dan keempat.

Iklan

Beliau pada masa sama berharap agar dapat menarik kehadiran wakil luar negara pada edisi akan datang sekiranya MMBA berjaya mendapatkan lebih banyak tajaan daripada pihak luar untuk kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Wan Seong, 69, berkata, kejohanan tersebut bakal menjadi aksi pemanas badan sebelum beliau mewakili negara bagi kategori peringkat umur 65-69 tahun pada Kejohanan Badminton Dunia Senior 2023 di Jeonju, Korea Selatan dari 11 hingga 17 September depan.

"Walaupun baru lepas pembedahan tendon Ogos tahun lepas, saya berjaya raih pingat perak pada sebuah kejohanan di Pulau Pinang minggu lepas. Saya harap kejohanan anjuran MMBA akan membantu menyiapkan diri beraksi di Jeonju," katanya. - Bernama