KEBANGKITAN luar biasa Eldrick Tont Woods atau lebih dikenali sebagai Tiger Woods, ikon sukan golf dunia dari Amerika Syarikat amat mengagumkan.
Pada 16 April lalu, Woods mengungguli kejohanan Masters edisi ke-83, sekali gus gelaran ke-15 beliau di kejohanan utama. Woods bangkit menamatkan kemarau kemenangan yang sudah mencecah 11 tahun. Ini adalah gelaran Masters kelima dan yang pertama sejak 2005.
Hamburan kata-kata pujian tidak putus ditujukan kepadanya. Donald Trump, Barack Obama termasuk juga ikon sukan berprestasi tinggi senegara seperti Jack Nicklaus (golf), Magic Johnson (bintang NBA) juga Serena Williams (tenis) turut teruja dengan kebangkitan Woods. Atlet lagenda bola keranjang, Micheal Jordan menyifatkan sebagai kebangkitan terhebat dalam sejarah sukan dunia.
Woods mencipta era kegemilangan sejak berusia 21 tahun pada tahun 1997. Dia mendominasi sukan ini sehinggalah tahun 2009. Beliau menduduki ranking nombor satu dunia lima tahun berturut-turut.
Namun begitu sebagai manusia biasa beliau kecundang dengan disiplin diri apabila terjebak dengan masalah peribadi berkaitan wanita. Mengalami keruntuhan rumah tangga pada 2010 yang merencatkan tumpuan beliau dalam kerjayanya.
Selain itu Woods turut mengalami kecederaan yang bertimpa-timpa. Beliau telah menjalani beberapa kali siri pembedahan melibatkan kaki kiri, lutut dan bahagian belakang.
Pembedahan terakhir dia lalui pada April 2017. Ekoran pelbagai masalah berkenaan beliau tidak lagi aktif dan rankingnya telah terperosok di luar 1000 pemain terbaik dunia.
Tentunya beliau mempunyai semangat juang dan mentaliti juara yang bukan calang-calang. Dengan kemelut peribadi dan masalah kecederaan yang bertimpa-timpa, beliau melalui kehidupan tidak seperti manusia normal.
Namun akhirnya bangkit dan mampu mengetepikan segala rintangan dan tekanan."Saya masih mempunyai dua tangan yang hebat.’’ Ujarnya.
Jaguh badminton kebanggaan negara Datuk Lee Chong Wei (DLCW) turut melalui episod duka dalam kerjayanya. Sejak Julai 2018, beliau terbelenggu dengan kecederaan penyakit kanser hidung yang memerlukannya berehat panjang. Hasratnya menyertai kejohanan Seluruh England (Mac), Terbuka Malaysia (April) tidak kesampaian.
Terbaharu beliau belum mendapat lampu hijau daripada doktor yang merawatnya untuk kejohanan Piala Sudirman Mei ini di Nanning China.
Rankingnya merudum pada kedudukan ke-76 kini. Beliau perlu mengutip seberapa banyak mata untuk berada di kelompok 16 terbaik dunia bagi melayakkannya beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
DLCW tidak terpalit masalah peribadi dan disiplin. Beliau dilihat masih fokus dengan latihan ringan untuk mengekalkan kecergasannya. Seorang suami yang setia kepada isterinya, rumah tangganya utuh dan tidak bergelora.
Pencapaian memenangi tiga pingat perak berturut-turut dalam sukan Olimpik yang lalu (2008, 2012 dan 2016) memakan tempoh 12 tahun. Beliau dilihat masih boleh disandarkan harapan. Ini merupakan suatu status dan pencapaian yang hebat.
Ayuh! DLCW jadikan kebangkitan epik Tiger Woods itu sebagai suatu inspirasi buat anda. Episod gersang Woods dilihat lebih tandus dan gelap berbanding yang anda lalui.
Penulis berpendapat dan berharap kebangkitan Woods itu juga wajar menjadi tonik dan inspirasi kepada ahli-ahli sukan yang lain. Dalam konteks atlet-atlet yang akan membawa cabaran negara, perlu menanamkan azam yang kuat dan cukup membara.
Apatah lagi mereka yang dikategorikan dalam bidang sukan berprestasi tinggi (program podium). Tidak dinafikan selain badminton kita masih berharap kepada acara berbasikal dan terjun. Kedua-dua acara ini pernah menggegar dengan melahirkan juara dunia melalui Azizul Hasni Awang dan Leong Jun Hong.
Majlis Sukan Negara dan pemimpin persatuan sukan wajar memberi penekanan kepada acara-acara di mana negara-negara dari Asia Tenggara lain boleh dan menghasilkan pingat emas di Olimpik.
Selain Joseph Schooling (Singapura) yang mengejutkan dengan kuak emasnya, negara Asia Tenggara lain agak konsisten meraih emas daripada acara menembak, tinju dan angkat berat.
Vietnam meraih pingat emas pertamanya dalam acara menembak di Rio 2016. Begitu juga dalam temasya yang sama acara angkat berat kategori 56 kilogram wanita, emas dimenangi oleh Thailand dan pingat perak oleh peserta Indonesia.
Sama-samalah kita berdoa agar DLCW diberikan kesembuhan untuk menggalas cabaran mengumandangkan lagu NegaraKu buat kali pertama di pentas tertinggi itu nanti.
* Mohd Arshad Musa ialah Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd. Beliau berpengalaman di dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia