BINTANG muda berprofil tinggi Tottenham Hotspur, Ryan Sessegnon telah menjalani pembedahan pada hamstring kirinya, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Selasa.
Kecederaan dialami pemain berusia 23 tahun kelahiran Roehampton, England itu berlaku ketika latihan pramusim.
"Dijangka pembedahan ini akan memberikan penyelesaian secara kekal kepada masalah kecederaan Ryan,” kata Tottenham dalam satu kenyataan.
Malang yang menimpa pemain pertahanan bek kiri itu menyaksikan dia tidak akan tersedia untuk jelajah pramusim Asia-Pasifik Tottenham yang akan datang.
Tottenham tidak menyatakan bila pemain berusia 23 tahun itu dijangka kembali menjalani latihan.
Sebagai rekod, siri pramusim itu menyaksikan Tottenham akan menentang West Ham United, Leicester City dan AS Roma.
Tottenham mengakhiri saingan liga musim lalu di kedudukan kelapan liga dengan 60 mata hasil - 18 menang, enam seri, 14 tewas - setelah mengharungi 38 perlawanan.
Tottenham asuhan Ange Postecoglou akan menyingkap kempen liga musim ini dengan kunjungan ke Stadium Komuniti Gtech bagi berdepan Brentford didikan Thomas Frank pada 13 Ogos.