SHAH ALAM - Mahasiswa lepasan universiti digalak untuk menceburi bidang keusahawanan khususnya koperasi bagi membantu meningkatkan kemahiran dan mencari pekerjaan.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, ia seterusnya membantu negara untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan di negara ini.
Jelasnya, belia terutama mahasiswa juga digesa untuk memanfaatkan program berkaitan bagi membangunkan sektor sosioekonomi, bakat dan peluang yang disediakan oleh agensi serta pihak berkuasa.
"Angkasa menerusi kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Insititut Koperasi Malaysia (IKMa) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penyertaan mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan.
"Platform yang telah disediakan adalah menerusi koperasi siswa yang diwujudkan disemua institut pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Usahawan Koperasi: Sijil Pengurusan Profesional Koperasi (Program PENJANA KPT-CAP) di Wisma Ungku A. Aziz.
Menurut beliau, inisiatif terkini itu direka khusus dengan kepakaran tenaga pengajar dan modul daripada Angkasa, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), SKM dan IKMa bagi melatih peserta secara profesional dalam pengurusan serra keusahawanan koperasi.
"Antara objektif utama program adalah untuk mewujudkan satu jaringan kerjasama strategik di antara kementerian, universiti, agensi kerajaan, industri (koperasi) dan pelajar alumni.
"Ia bagi menghasilkan usahawan koperasi yang inovatif dan berdaya saing serta meningkatkan sosio ekonomi dan kompetensi pelajar, alumni dan komuniti melalui penghasilan produk atau perkhidmatan yang berkualiti,” ujarnya.
Tambahnya, Angkasa juga menerima geran untuk melaksanakan dua lagi program iaitu Program Penjana KPT-PACE dan Program Pensijilan Profesional Usahawan Koperasi Millenia Inovatif.
Menurut beliau, program selama sebulan itu akan melibatkan pelajar-pelajar UMK yang sedang dalam pengajian.
Jelas Abdul Fattah, program usahawan koperasi itu mampu menjadi platform terbaik untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai industri yang dipelopori oleh golongan belia pada masa ini.
"Ia juga selaras dengan jaminan pihak kerajaan untuk terus membantu golongan usahawan khususnya belia dalam menghadapi krisis ekonomi,” katanya.