SHAH ALAM - Calon-calon pilihan raya negeri (PRN) perlu menjadikan moratorium pembalakan sebagai antara agenda mereka sekiranya mahu mendapat undi daripada anak muda.
Malaysian Youth for Forest Action (MyHutan) berkata, semakan komprehensif bagi semua undang-undang pembalakan bagi membendung pembalakan haram dan tidak mampan juga perlu dilakukan.
Menurutnya, hasil Tinjauan Iklim Belia menunjukkan 83 peratus belia percaya bahawa perubahan iklim adalah satu isu yang penting bagi mereka.
"83 peratus juga bimbang tentang impak dan risiko perubahan iklim, terutamanya bencana cuaca ekstrim yang kini sedang melanda dengan lebih kerap dari tahun ke tahun.
"Paling penting adalah sentimen anak muda tentang peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan dalam mengekang krisis iklim.
"Hanya 39 peratus belia berasa bahawa kerajaan boleh dipercayai untuk menyelesaikan isu iklim di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
MyHutan menjelaskan, Tuntutan Iklim Belia merupakan inisiatif MyHutan yang merangkumi tinjauan anak muda dari usia 18 ke 35 tahun dari seluruh Malaysia mengenai sentimen mereka tentang isu-isu alam sekitar.
Sehubungan itu, MyHutan menggariskan tuntutan kepada semua calon PRN akan datang agar mengangkat dasar pengangkutan awam yang merangkumi semua aspek kemampanan dan perancangan bandar yang berpaksikan pejalan kaki.
"Calon-calon PRN juga perlu mengangkat agenda pelaksanaan dasar fiskal, termasuk instrumen cukai karbon dan kegunaan instrumen kewangan alam sekitar.
"Selain itu, rombakan undang-undang sektor pertanian dan pelaksanaan dasar pertanian yang berfokuskan petani kecil moden dan hak petani kecil bagi memastikan keselamatan makanan Malaysia.
"Komitmen kerajaan untuk memastikan 50 peratus daripada semua keperluan tenaga untuk bangunan-bangunan kerajaan dijana oleh tenaga yang boleh diperbaharui juga diperlukan," katanya.