PEMAIN perseorangan wanita negara, Ung Yi Xing mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga kejohanan badminton Remaja Asia 2023 selepas menyingkirkan cabaran wakil Singapura, Chia Xin Ying di Yogyakarta, Indonesia pada Rabu.
Perlawanan pusingan kedua di Dewan Sukan Among Rogo itu, menyaksikan Yi Xing yang menang set pertama 21-7 dipaksa bekerja keras apabila tewas set kedua 18-21 sebelum menang 21-15 pada set penentuan.
Iklan
Iklan
Yi Xing pilihan ke-15 kejohanan itu akan berdepan wakil Thailand, Saranporn Sombutwatthananukool yang menyingkir pemain Hong Kong, Lo Shu Ting 19-21, 21-15, 21-8.
Pemain perseorangan lelaki negara Muhammad Faiq Haziq juga mengesahkan kemaraan apabila menundukkan pemain tuan rumah, Muhammad Zaki Ubaidillah 21-7, 21-19.
Bintang muda berusia 17 tahun itu akan berdepan pemain Filipina, Ramos Robert Ishmael yang menghantar pulang pemain Singapura, Justin Tay Ron Hsien 17-21, 21-14, 21-15.