'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin

Iklan
Amirudin ketika berucap pada Jelajah Kita Selangor Arus Merah Kuning DUN Bukit Melawati di kawasan tapak parkir kereta pada Rabu.

KUALA SELANGOR - Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memperlekeh institusi diraja di Selangor menggambarkan sikap sebenar pemimpin terbabit yang kononnya memperjuangkan isu Melayu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sikap 'bermuka-muka' Muhammad Sanusi itu membuktikan beliau tidak menghormati institusi raja Melayu yang menjadi lambang perpaduan masyarakat di negara ini.

Iklan
Iklan

"(Mereka) berulang kali melanggar dari segi kempen, tetapi juga terma dan adab dengan sultan dan Raja-Raja Melayu," katanya ketika ditemui pada Jelajah Kita Selangor Arus Merah Kuning Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di kawasan tapak parkir kereta di sini pada Rabu.

Amirudin berkata, pembangkang diingatkan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang ucapan atau kempen bersifat biadab terhadap institusi diraja.

Iklan

"Ini satu perkara yang harus dinilai dan diinsafi oleh mereka," kata Amirudin.

Ditanya adakah pihak Istana Selangor ada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kenyataan Muhammad Sanusi, Amirudin memaklumkan tidak mengetahui perkara berkenaan.

Iklan

"Itu tidak pasti dan saya tidak boleh bercakap tentang itu," jelas Amirudin.

Mengulas kemungkinan ada laporan polis dibuat, Amirudin memberitahu, beberapa individu dijangka membuat laporan tersebut.

Sebelum ini, tular video ucapan Muhammad Sanusi di aplikasi TikTok yang memperlekeh kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana melantik Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.