SABAH FC giat melakukan persiapan rapi menjelang perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas, Sabtu ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, Sabah perlu memastikan tiga mata dapat dikutip di depan penyokong The Rhinos.
Malah katanya, para pemain The Rhinos perlu lebih fokus dan paling penting mengelak melakukan sebarang kesilapan yang menjejaskan peluang pasukan mencatat kemenangan.
"Ya, Sri Pahang memiliki kelebihan berdasarkan prestasi terbaik serta konsisten meskipun bermain di tempat lawan atau di laman sendiri, namun kami mampu memberikan tentangan sengit dalam perlawanan itu.
"Paling penting para pemain Sabah tidak boleh memberikan ruang kepada Sri Pahang untuk menguasai permainan, matlamat Sabah ialah untuk mencapai keputusan positif Sabtu ini.
"Berdepan Kuching City sebelum ini menyaksikan Sabah hampir mendapatkan satu mata, namun kesungguhan para pemain membolehkan kami meraih kemenangan harus diberikan pujian,” katanya pada Rabu.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata, setakat ini Telmo Castanheira dan Miguel Ángel Garrido Cifuentes masih cedera, namun tidak menjejaskan persiapan menjelang perlawanan.
"Kita ada beberapa hari lagi sebelum bermain bertemu Sri Pahang.Saya berharap mereka akan sempat pulih serta membantu pasukan.
"Kita perlu memastikan supaya Sabah mempunyai para pemain yang mencukupi serta seimbang dalam menghadapi perlawanan akan datang,” jelasnya.
LIGA SUPER
JUMAAT, 14 JULAI
Kedah Darul Aman FC lwn Kelantan United FC
(Stdm Darul Aman, 9 malam)
Kelantan FC lwn JDT
(Stdm Sultan Muhammad IV, 9 malam)
SABTU, 15 JULAI
Kuala Lumpur City lwn Negeri Sembilan
(Stdm Bola Sepak Kuala Lumpur, 9 malam
Sabah FC lwn Sri Pahang FC
(Stdm Likas, 8.15 malam)
Selangor FC lwn Penang FC
(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)
AHAD, 16 JULAI
Kuching City FC lwn Perak FC
(Stdm Negeri, 8.15 malam
PDRM FC lwn Terengganu FC
(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)
*Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan