MUNGKIN ada sesetengah orang suka cabaran atau dicabar, tetapi cabaran bagaimana yang berbaloi dan adakah menyahut cabaran itu bagus?
Biasanya apabila ada orang mencabar, pastinya kita akan rasa tercabar dan perlu menyahutnya, namun begitu, perlu melihat sama ada cabaran tersebut positif atau sebaliknya.
Contohnya, sekiranya dicabar untuk mendapat 7A dalam peperiksaan. Sudah pasti ini sesuatu yang bagus dan berbaloi jika mencapainya.
Bagaimana pula jika cabaran itu negatif seperti mencederakan diri sendiri. Perlukah kita lakukan?
Biasanya, mereka yang menyahut cabaran ini adalah sekadar untuk menunjukkan yang dirinya hebat. Tanpa memikirkan kesan atas perbuatannya itu kepada diri sendiri dan keluarga.
Baru-baru ini, cabaran TikTok melompat dari bot menjadi ikutan di Amerika Syarikat (AS). Empat nyawa ‘melayang’ di Alabama sejak enam bulan lalu kerana melakukan cabaran tersebut akibat patah leher.
Cabaran itu memerlukan orang ramai melakukan pelbagai aksi berbahaya seperti backflip ketika bot sedang bergerak dalam kelajuan tinggi. Kerana mahukan perhatian dan terpengaruh, mangsa sanggup menyahut cabaran yang tidak berfaedah itu.
Lebih menyedihkan, salah satu daripada insiden tersebut dirakamkan oleh ahli keluarga. Mereka mungkin cenderung melakukan perbuatan bodoh itu kerana mahu menunjuk-nunjuk di hadapan keluarga atau rakan sebelum dimuat turun dalam media sosial.
Pada awalnya memang nampak menyeronokkan, tetapi apabila sudah cedera atau kehilangan nyawa, baru hendak menyesal.
Itu cuma salah satu contoh cabaran bahaya yang menjadi trend di TikTok sekarang. Penulis percaya, ada banyak lagi cabaran berbahaya dilakukan untuk dimuat naik di TikTok yang menjadi ikutan anak-anak muda.
Tidak keterlaluan jika dikatakan anak muda zaman kini sangat mudah terpengaruh dengan cabaran di TikTok. Amat membimbangkan jika trend yang dilakukan di luar negara menjadi ikutan anak muda di Malaysia kerana zaman moden sekarang ini semuanya di hujung jari.
Agak mustahil untuk ibu bapa memantau 24 jam disebabkan pengaruh media sosial atau kawan-kawan, paling tidak pun hanya boleh memberi nasihat.
Sehubungan itu, penulis berharap dengan berita insiden kematian penyahut cabaran TikTok di luar negara itu sedikit sebanyak membuka minda anak muda di negara ini agar tidak melakukan perbuatan mendatangkan mudarat.
Mungkin ada tawaran hadiah yang menarik, tetapi tidak berbaloi dengan kesakitan yang dialami selain cabaran itu sekadar mahu menambah view atau like di media sosial sendiri tanpa memikirkan impak selepas itu.
Selepas beraksi dan video anda dimuat turun ke media sosial mungkin ia mendapat view tinggi tapi berbaloikah sekiranya nyawa melayang?
Menerusi komen pada video yang dikongsi penyahut cabaran kebanyakan netizen bertanya tentang kesan selepas mereka melakukan backflip itu. Adakah keadaan kepala, muka dan leher mereka alami kesakitan yang teruk?
Ini menunjukkan netizen lebih ingin tahu kesan selepas melakukan aksi tersebut berbanding menyatakan video itu menarik.
Walaupun terdapat komen netizen mengatakan video itu menghiburkan tetapi bukan satu contoh yang baik untuk ditonton dan diikuti orang ramai.
Penulis sendiri tidak berasakan ia satu kepuasan diri atau pencapaian tertinggi tetapi lebih kepada menunjuk-nunjuk bagi membuktikan anda hebat di mata netizen. Siapa buat dulu, dia hebat!
Jika trend ini semakin menjadi-jadi di Amerika Syarikat susulan cuti musim panas yang hampir tiba, penulis bimbang ia akan ‘melarat’ ke Malaysia.
* Zairani Ibrahim ialah Pencipta Kandungan Pengisian Digital Sinar Harian