SHAH ALAM - Penggunaan internet dan media sosial dalam kalangan remaja perlu dipantau bagi menghindari golongan terbabit terlibat dengan perbuatan tidak bermoral antaranya menonton video atau gambar pornografi.
Oleh itu, ibu bapa digesa mengawasi anak-anak dalam penggunaan telefon pintar kerana bahan-bahan pornografi mudah didapati dan ia seperti 'barah' yang akan memakan diri jika tidak ditangani sebaik mungkin.
Ini dibuktikan dengan kajian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 75 peratus remaja terutama lelaki pernah menonton video atau melihat gambar lucah.
Pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UKM, Profesor Madya Dr Noor Azimah Muhammad berkata, kajian dijalankan pada 2021 itu menunjukkan kebanyakannya adalah remaja lelaki yang terjebak semasa menuntut di sekolah menengah dan kerap menggunakan internet di rumah secara bersendirian.
Menurutnya, penggunaan internet dan media sosial masa kini memudahkan remaja untuk mendapatkan video atau gambar pornografi tanpa dikesan ibu bapa.
Ujar beliau, perbuatan tidak bermoral itu disokong dengan adanya kemudahan WiFi sama ada di dalam rumah sendiri atau sesetengah premis yang mana remaja tidak perlu mengeluarkan duit sendiri.
Sementara itu, menurut Pakar Perunding Psikologi CPC International, Dr Noor Aishah Rosli pula berkata, pendedahan diri kepada video lucah dalam jangka masa panjang menyebabkan remaja mengalami gangguan psikologi seperti kesukaran untuk fokus sewaktu belajar.
Jelasnya, gangguan itu disebabkan ketagihan menonton video berkenaan sehingga mengabaikan tuntutan sebagai seorang pelajar.
Katanya, apabila mereka mulai taasub dengan video lucah, ia akan mewujudkan perasaan teruja untuk melihat dengan lebih kerap.
Malah, perbuatan itu boleh mendorong nafsu seseorang itu untuk melakukan perkara yang sama dan akhirnya boleh menyebabkan terjadinya di luar kawalan seperti onani, rogol dan seks bebas.
Secara terang-terangan, Islam melarang menonton video atau gambar lucah kerana ia bukan sahaja menggelapkan hati tetapi membawa kepada kemungkaran ALLAH.