2 lelaki ditahan edar 5kg ganja

Iklan
Antara dadah yang dirampas pihak polis dalam serbuan di pangkalan haram di Pasir Mas pada Khamis. - Foto Sinar Harian

PASIR MAS - Dua termasuk seorang lelaki warga Thailand ditahan kerana dipercayai mengedar lima kilogram ganja di kawasan pangkalan haram di Kaloi Gelang Mas di sini pada Khamis.

Kedua-duanya berusia 30-an dan 50-an itu ditahan dalam Ops Tapis Khas oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, polis menjalankan pemeriksaan terhadap kedua-duanya dan menjumpai sejumlah dadah jenis ganja.

"Hasil pemeriksaan dalam serbuan di kawasan pangkalan haram itu, pihak polis menemukan sejumlah ganja tersebut yang dianggarkan bernilai RM15,500.

Iklan

"Ujian urin terhadap mereka pula didapati positif dadah jenis metamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Ujar beliau, polis melakukan semakan lanjut terhadap rekod suspek-suspek dan mendapati ada yang pernah terlibat dengan bahan terlarang tersebut.

Iklan

"Hasil semakan itu mendapati salah seorangnya mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkait kes dadah.

"Oleh sebab itu, mereka akan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk perintah tahanan reman bagi membantu siasatan,” kata Kama.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dalam satu lagi serbuan di Kampung Slow Machang, pihaknya menahan empat lelaki berusia antara 20 sehingga 50 tahun dengan rampasan dua jenis dadah bernilai RM6,600.

"Dadah-dadah yang dirampas ialah jenis heroin dianggarkan seberat 15.93 gram (g) dan 60 pil kuda seberat 6g, bernilai RM6,600.

"Hasil semakan, kesemua suspek dalam serbuan di Slow Machang mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah selain urin mereka didapati positif bahan tersebut,” kata Kama.

Tambahnya, mereka direman selama tujuh hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

Kes-kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.