KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Khamis merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap kebajikan golongan pesara kerajaan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, keputusan kerajaan untuk memberi bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP), adalah langkah tepat bagi membantu golongan pesara yang turut terkesan dengan kos sara hidup semasa.
"Kita berharap bayaran dua peratus itu terus dikekalkan sehingga pelarasan gaji dilakukan. Apabila pelarasan dibuat, sekiranya kenaikan pencen pesara di bawah dua peratus, diharap kerajaan dapat mengekalkannya manakala jika melebihi dua peratus, kerajaan dapat mempertimbangkan kenaikan yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama pada Khamis.
Adnan berkata, langkah itu akan memanfaatkan kira-kira 720,000 pesara kerajaan.
Para Rabu, Anwar berkata, kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, ini selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.
Perdana Menteri berkata, ini menyaksikan bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Disember 2012 manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013 bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.
"Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai PKKP bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023,” kata Anwar.
Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan undang-undang pada 2013 yang memperkenal skim pencen baharu dan melaraskan bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus sebagai kurang menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan. - Bernama