KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan keputusan membanggakan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sebanyak 2.93 mengatasi PNGK peringkat nasional 2.82.
Pencapaian PNGK itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.01 mata berbanding 2.92 tahun lalu.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd Hassany Hashim berkata, seramai 3,356 calon menduduki peperiksaan STPM 2022 bagi negeri Kelantan dengan keseluruhan lulus 99.36 peratus atau 3,399 calon.
Menurutnya, peratus lulus penuh calon sekolah kerajaan ialah sebanyak 99.67 peratus atau 3,345 calon berbanding 3,397 calon lulus atau 99.36 peratus, tahun sebelumnya.
"Berdasarkan pencapaian itu, seramai 717 calon atau 21.36 peratus mendapat lima prinsipal manakala 2,084 atau 62.1 peratus calon mendapat empat prinsipal di sekolah kerajaan,” katanya pada Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 negeri di Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1, dekat sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Hassany berkata, sebanyak 51 daripada 60 sekolah kerajaan di negeri ini juga mencapai keputusan lulus 100 peratus dengan gred putara sekolah tertinggi ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas (3.5) diikuti SMK Pengkalan Chepa, Kota Bharu (3.46) seterusnya SMK Dato’ Ahmad Maher, Kota Bharu (3.4).
Selain itu, tambahnya, seramai 84 calon daripada jumlah keseluruhan tahun ini berjaya mendapat PNGK 4.00 berbanding 57 calon tahun lalu.
"Seramai 32 calon memperoleh semua A bagi lima mata pelajaran yang diduduki manakala 52 lain meraih 4A dalam kesemua empat mata pelajaran mereka.
"Ada lima calon dari Kelantan yang akan menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2022 daripada Majlis Peperiksaan Malaysia di peringkat nasional,” ujarnya.
Beliau berkata, mereka ialah Nur Liyana Syahirah Abdullah dari SMK Zainab 1, Nor Adilah Putri Nor Adzhar (SMK Ayer Lanas, Jeli), Aisha Nasuha Zukri Suzita (SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas); Zahrah Zulkifli (SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas); dan Rafiqah Iwani Hanafi (SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas).