Berang buah kelapa sawit dicuri, pekebun bakar lori

Iklan
Sebuah lori membawa muatan buah kelapa sawit curi dibakar di Jalan Parit 5, Sungai Limau, Simpang Renggam, Kluang pada Rabu.

KLUANG - Dua pekebun yang berang selepas mengetahui buah kelapa sawit di ladang tempat mereka bekerja dicuri empat lelaki, bertindak membakar sebuah lori dengan muatan kelapa sawit di Jalan Parit 5, Sungai Limau, Simpang Renggam dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sebelum itu kejadian tersebut disedari berlaku pada jam 8.30 pagi apabila penyelia ladang masuk ke kawasan ladang dan menemui kesan buah kelapa sawit sudah dipotong.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara tersebut kemudian dimaklumkan kepada anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada jam 11 pagi.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Renggam telah membuat rondaan dan ternampak empat lelaki sedang memunggah buah kelapa sawit dari lori yang terbakar di ladang itu.

Iklan

"Menyedari kehadiran pihak polis, suspek melarikan diri. Seorang daripadanya berjaya ditangkap dan hasil soal siasat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang berjaya menahan tiga lagi suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bahrin berkata, semua suspek mengaku mencuri buah kelapa sawit dari ladang PPSB Simpang Renggam itu dan semakan ke atas lori berkenaan mendapati milik syarikat swasta yang didaftarkan di Johor Bahru.

Iklan

Katanya, semua suspek yang bekerja sebagai buruh masing-masing berusia 30-an beralamat di Simpang Renggam dan daerah ini dengan tiga daripadanya mempunyai 21 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine, sementara kerugian dianggarkan RM300 dan polis juga merampas lori dan buah sawit berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, dua pekebun berusia 40 dan 50-an yang membakar lori muatan sawit tersebut turut ditahan.

"Mereka bertindak membakar lori berkenaan kerana marah buah sawit dicuri. Kedua-dua pekebun itu mengakui berada di tempat kejadian semasa kejadian berlaku," katanya.

Tambahnya, semua enam suspek berkenaan ditahan reman selama empat hari sehingga 16 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.