Import makanan negara cecah RM62 bilion setahun - TPM

Iklan
Ahmad Zahid dan Mohamad menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman antara Kejora dan MARDI bagi kerjasama strategik melalui program pembangunan pertanian dan pembangunan usahawan di KKDW hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Permintaan pengguna serta faktor tukaran mata wang asing menyebabkan nilai import makanan negara meningkat hingga mencecah RM62 bilion setahun berbanding RM48 bilion sebelum ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menekankan negara tidak boleh selamanya bergantung kepada import makanan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup berkata, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu bekerjasama memberi fokus kepada keterjaminan makanan dan memastikan permintaan di dalam negara mencukupi.

Iklan
Iklan

"Kalau kita bergantung kepada makanan import, ia akan menjadikan negara ini secara teknikalnya bakal menghadapi kebankrapan.

"Jika kita dapat selamatkan RM60 bilion ini, lebih tepat, RM62 bilion melalui pengeluaran makanan tempatan, bukan sahaja kita dapat kurangkan pertukaran asing tetapi juga dapat merangsang ekonomi domestik,” katanya.

Iklan

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini hari ini, yang turut disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ahmad Zahid berkata, semua agensi pembangunan wilayah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membantu negara mengurangkan kebergantungan import makanan.

Iklan

"Hal yang sedemikianlah kita mesti proaktif bukan sahaja dari segi agromakanan tetapi juga ternakan, dan tentunya usaha-usaha ini mesti dilakukan dengan cara holistik.

"Kementerian, jabatan dan agensi-agensi kerajaan jangan lagi bertindak secara solo, mesti bergerak sebagai sebuah entiti besar dan tentunya rakyat akan melihat bagaimana usaha-usaha ini dilakukan,” katanya.

Mengenai MoU hari ini, Ahmad Zahid berkata, ia merupakan langkah permulaan antara MARDI dan agensi pembangunan wilayah di bawah KKDW untuk membantu KPKM meningkatkan pengeluaran makanan di dalam negara.

"Ini bukan hanya membantu KPKM, ia juga membantu negara dan tentunya produk-produk penghasilan daripada penyelidikan MARDI akan digunakan sebagai satu keberhasilan bagi aktiviti pengkomersialan.

"Produk-produk yang akan diperhasilkan ini adalah produk-produk pertanian yang berteknologi tinggi. Ertinya kita mempunyai pendekatan supaya kos rendah, impak tinggi," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, MoU itu merangkumi kerjasama dalam melaksana aktiviti pemindahan teknologi, pengetahuan dan khidmat nasihat teknikal yang dihasilkan daripada penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI kepada agen pengembangan dan usahawan di wilayah Johor Tenggara.

Menerusi kerjasama itu juga, beliau berkata, Kejora bakal membangunkan sebuah ladang tanaman kelapa secara komersial berserta kilang pemprosesan santan, yang purata pengeluaran hasil bagi buah kelapa dijangka mencecah 600 metrik tan setahun.

Beliau berkata, projek itu dijangka memberikan impak secara langsung kepada 110 penduduk di kawasan wilayah Kejora yang terdiri daripada kakitangan pengurusan dan operasi kilang pemprosesan santan serta buruh ladang yang akan diuruskan oleh anak syarikat Kejora iaitu Kejora Agro Sdn Bhd. - Bernama