PENYAMPAI radio Era, Haniff Hamzah tampil memberitahu mengenai kepada media mengenai dakwaan rumah tangga yang difahamkan sedang bergolak.
Menurut Haniff, 34, ketika ditemui pada Anugerah MeleTOP Era 2019, isu rumah tangga sudah diperjelaskan terlebih awal kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya.
"Saya lebih selesa berkongsi dengan mereka sahaja dan saya akan kongsikan kenyataan pada bila masa yang sesuai.
"Kalau anda nak tanya soal karier saya akan jawab namun fasal peribadi ini saya tak nak cakap lebih lanjut," jelasnya tenang.
Suami kepada Wan Nor Katherina itu juga memberitahu, dia tidak mahu isu ini diperbesarkan kerana bimbang akan memberi kesan kepada dua orang cahaya matanya.
"Harap anda faham ya sebab kami ada dua orang anak yang masih bersekolah. Jadi, kami tak mahulah isu ini diperbesarkan.
"Sampai masanya kami akan bersama-sama tampil keluarkan kenyataan," katanya lagi.
Difahamkan, isu rumah tangga pasangan itu mula dihidu apabila kedua-dua mereka telah memadam gambar masing-masing di akaun media sosial.
Haniff dan Katherina diijabkabulkan pada 12 Jun 2010 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki, Tuah Kaliff, 7 dan Jebat Kaliff, 5.