SHAH ALAM - Pihak berkuasa perlu membuka kertas siasatan ke atas Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataan biadab yang dilemparkan terhadap Raja-Raja Melayu.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, Menteri Besar Kedah itu juga perlu memohon maaf kepada rakyat Selangor atas penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Beliau dengan keceluparan mulutnya mengheret Sultan Selangor ke kancah politik dengan merendahkan keputusan Baginda yang memilih Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
"Ucapan biadab itu jelas diluahkan tanpa berselindung dan diungkapkan di khalayak ramai telah mengguris hati rakyat Selangor.
"Bukan saja nama Baginda diheret malah ditarik sama nama Sultan Kedah (Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) yang seharusnya tidak dilakukan apatah lagi dengan status Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah, perlu memahami perkataan adab," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor selain turut meremehkan pelantikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.
Dalam pada itu, Wan Anwar menegaskan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu tidak memahami Perlembagaan dan undang-undang negeri Selangor hingga mengheret institusi Raja dalam ceramah politik.
Secara tidak langsung jelas menunjukkan PN terdesak untuk mengganggu pilihan rakyat negeri Selangor.
"Lebih menyedihkan, PN saban hari kononnya melaungkan ketuanan Melayu, namun Pengarah Pilihan Raya mereka sendiri tidak hormat Raja-Raja yang memayungi Melayu.
"Ia juga jelas menunjukkan sikap kurang ajar beliau serta gabungan parti itu tidak hormat kepada Raja-Raja Melayu sedangkan sudah acapkali diingatkan kerajaan tentang 3R (raja, agama dan bangsa).
"Belum lagi disebut penghinaan peribadi terhadap Amiruddin dengan menyebut perkataan tidak cukup inci menunjukkan PN tidak ada modal untuk membangunkan Selangor dan sekadar menyerang peribadi," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin
Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi
"Sanusi perlu buat taubat Nasuha'' - Ahmad Zahid
'Kenyataan Menteri Besar Kedah melampau, kurang ajar'