Tindakan tegas perlu diambil terhadap Sanusi - Suryamuizzudin

Iklan
Suryamuizzudin bersama PKR Shah Alam membuat laporan polis terhadap ucapan Sanusi pada siri ceramah PN yang didakwa menghina Sultan Selangor.

SHAH ALAM - Tindakan tegas terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu diambil sebagai memberi pengajaran kepada parti politik agar tidak menggunakan pentas ceramah sebagai medan serangan dan penghinaan terhadap institusi diraja.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Shah Alam, Suryamuizzudin Kamarudin berkata, Muhammad Sanusi telah menghina dan memperlekehkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam ucapan pada ceramah Perikatan Nasional baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ucapan Muhammad Sanusi secara terang bersifat menghina Sultan Selangor itu tidak dapat diterima rakyat Selangor yang kasih dan menghormati institusi diraja di negeri ini.

"Kami menggesa pihak berkuasa untuk segera siasat serta ambil tindakan tegas terhadap Muhammad Sanusi yang saban hari menjadikan pentas ceramah politik PN menghambur penghinaan terhadap pimpinan negara serta menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat menerusi kenyataan-kenyataan beliau yang bersifat perkauman.

Iklan

"Kami berharap pendirian tegas Kerajaan Perpaduan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan penguatkuasaan undang-undang yang tuntas serta bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, negara tidak boleh dibiarkan musnah kerana politik perpecahan yang cuba dianjurkan pemimpin PN.

Iklan

Tambahnya, PKR juga mendukung pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam menangani kelompok yang menggunakan isu-isu 3R (raja, kaum dan agama) untuk mencapai tujuan politik sempit.

Suryamuizzudin pada Khamis telah membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi berhubung kandungan ceramah tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Seksyen 9.

Ucapan Muhammad Sanusi itu telah dimuat naik di banyak saluran media sosial seperti Youtube, TikTok, Facebook serta Twitter yang didakwa meremehkan urusan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari oleh baginda Sultan.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin

Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi

"Sanusi perlu buat taubat Nasuha'' - Ahmad Zahid

'Kenyataan Menteri Besar Kedah melampau, kurang ajar'