SHAH ALAM - Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor dianggap melampau, biadab dan tidak seharusnya dilakukan seorang pemimpin Melayu dan beragama Islam di negara ini.
Pengarah Komunikasi Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Norani Nordin berkata, rakyat dan pengundi Kedah harus berasa malu dengan tindakan Muhammad Sanusi.
Jelas beliau, rakyat negeri itu wajib menjadikan pilihan raya negeri (PRN) kali ini sebagai titik tolak untuk melakukan perubahan dan memilih pemimpin berjiwa Melayu serta Malaysia untuk memimpin negeri berkenaan.
"Pengundi Kedah adalah orang-orang yang tinggi budi bahasa, menghormati sultan dan menerima seadanya ciptaan Tuhan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Norani berkata, pelantikan Amirudin selaku Menteri Besar Selangor itu adalah hak dan budi bicara Sultan Selangor yang termaktub dalam perlembagaan.
"Kita dapati ceramah politik baru-baru ini, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dalam ucapannya memperlekeh perlantikan Amirudin sebagai Menteri Besar oleh Sultan Selangor," tegasnya.
Menurut beliau, Muhammad Sanusi juga didapati menghina tubuh badan Amirudin dengan ungkapan pemimpin tidak cukup inci atau terlalu pendek.
"Bagaimanapun, beliau (Sanusi) kemudian menarik balik kata-kata penghinaan terhadap Amirudin itu, tetapi tidak menarik balik kenyataan beliau terhadap Sultan Selangor," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, tindakan Muhammad Sanusi itu juga menyentuh sentimen bangsa, agama dan institusi diraja (3R) dalam ceramah politik.
"Meskipun kerajaan dan pihak polis telah berkali-kali mengeluarkan amaran agar jangan sesekali disentuh isu 3R dalam mana-mana keadaan terutama menjelang PRN, Sanusi tetap berdegil dan tidak mempedulikannya.
"Perbuatan Sanusi itu boleh ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai platform media sosial dan beliau harus disiasat serta diambil tindakan oleh pihak berkuasa," jelas Norani.
Amirudin sebelum ini menyifatkan Muhammad Sanusi sebagai pemimpin 'bermuka-muka' dan tidak menghormati institusi raja Melayu yang menjadi lambang perpaduan masyarakat di negara ini.
Pada Khamis, tular video ucapan Muhammad Sanusi di aplikasi TikTok yang memperlekeh kewibawaan Sultan Selangor.
ARTIKEL BERKAITAN:
'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin
Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi
"Sanusi perlu buat taubat Nasuha'' - Ahmad Zahid
'Kenyataan Menteri Besar Kedah melampau, kurang ajar'
Hina Sultan: AMK Selangor buat laporan polis
Hina Sultan: Pihak berkuasa perlu buka kertas siasatan terhadap Sanusi