SELAYANG - Status orang kurang upaya (OKU) penglihatan tidak menjadi penghalang buat pelajar St John Institution, Muhammad Faris Mohd Firdaus, memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Keputusan itu sekali gus melayakkan dirinya dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kategori Buta seluruh negara.
Muhammad Faris berkata, dia berdepan cabaran untuk proses pembelajaran kerana perlu bergantung dengan bantuan orang celik untuk mengakses bahan pembelajaran yang terhad.
Menurutnya, walaupun menjadi cabaran besar, dia tetap berpegang untuk tidak berputus asa demi mencapai keputusan yang terbaik untuk masa depan.
"Walaupun menghadapi beberapa kesukaran namun tidak pernah terlintas dalam diri saya untuk 'give up' kerana ia merupakan satu kegagalan yang besar buat saya jika berbuat demikian," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM pada Khamis.
Sementara itu, Pelajar Terbaik Kategori B40, Nur Atikah Zailan yang memperoleh keputusan PNGK 4.00 berkata, kejayaannya didorong oleh bapanya yang sering berpesan agar tidak menjadikan status kemiskinan sebagai penghalang untuk terus belajar bersungguh-sungguh.
Pelajar dari SMK Beaufort Sabah itu berkata, waktu malam selepas solat Isyak sehingga awal pagi pada setiap hujung minggu, akan dimanfaatkan untuk mengulang kaji pelajaran.
"Bapa selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh kerana kami bukan daripada keluarga yang senang.
"Saya berpegang dengan ayat bahawa 'jika ada harta dan tiada ilmu, masih dihormati tapi jika tiada harta tiada ilmu, kita akan dipandang rendah'," katanya.